Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengasas Berjaya Group, Vincent Tan, memaklumkan jualan Starbucks Malaysia kembali meningkat susulan kempen boikot terhadap rangkaian kedai kopi itu semakin reda.
Tan menjelaskan, masyarakat kini lebih memahami bahawa Starbucks Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan konflik Israel-Palestin.
“Orang ramai semakin realistik. Kita tidak dapat mengubah apa yang dilakukan oleh Israel atau apa yang berlaku di Gaza.
“Starbucks Malaysia tidak menyakiti sesiapa pun. Jika kita boikot Starbucks, bagaimana ia memberi kesan kepada Israel? Amerika Syarikat akan tetap menghantar bantuan kepada mereka,” katanya selepas majlis pelancaran Brahmarpanam Soup Kitchen di ibu negara semalam.
Tambah beliau, Starbucks Malaysia kini memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan perniagaan serta menarik pelanggan kembali ke kedai mereka.
Boikot jejas operasi
Berjaya Food Bhd (BFood), yang memperoleh 90% hasil kumpulan daripada Starbucks, sebelum ini terkesan akibat kempen boikot tersebut.
Pada Ogos 2023, syarikat itu melaporkan penutupan kekal tiga cawangan Starbucks dan menggantung operasi sementara 25 kedai yang kurang berprestasi. Walau bagaimanapun, BFood menafikan laporan bahawa lebih 100 cawangan akan ditutup secara kekal.
Starbucks turut menjadi salah satu jenama dari Amerika Syarikat yang diboikot bersama rangkaian lain seperti McDonald’s dan Burger King, berikutan sokongan negara itu terhadap serangan Israel di Gaza.
Tan sebelum ini merayu kepada rakyat Malaysia agar tidak meneruskan boikot kerana ia hanya merugikan pekerja tempatan, dengan kira-kira 85% kakitangan Starbucks Malaysia terdiri daripada orang Islam.
Sumber: Free Malaysia Today








