Tular satu video yang merakamkan kenyataan dari seorang warga asing yang dikenali dengan nama Abdul mendakwa tidak pernah mempunyai permit yang sah selama enam tahun tinggal di Malaysia.
Menerusi video yang dimuatnaik oleh seorang pempengaruh itu, Abdul menyatakan dia bekerja di beberapa tempat di Kuala Lumpur.
Kenyataan dari Abdul itu mengundang persepsi dan persoalan ramai mengenai tahap kawalan pihak berkuasa. Bagaimanapun, video itu telah dipadamkan oleh pempengaruh berkenaan.
Susulan itu, Jabatan Imigresen (JIM) mengambil maklum tentang isu itu dan menyiasat dakwaan warga asing berkenaan.
Memetik Sinar Harian, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat pihaknya telah kenal pasti identiti lelaki terbabit.
“Lelaki warga Bangladesh itu dikesan telah keluar dari Malaysia pada 2021.
“Tiada rekod lelaki itu memasuki Malaysia semula selepas itu dan berdasarkan rekod juga dia memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah sehingga 2 April 2022,”katanya.
Sehubungan dengan itu, JIM menggesa masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) agar tindakan dapat diambil segera.








