Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Apabila berlaku kematian di luar negara, ada permintaan dalam kalangan ahli keluarga untuk membawa pulang jenazah ke tempat asal dengan alasan supaya dapat menatap wajah jenazah buat kali terakhir dan memudahkan untuk melawat pusara.
Bukan sahaja kos yang ditanggung untuk membawa pulang adalah tinggi, namun tanpa disedari juga beberapa proses pengawetan dilakukan ke atas jenazah yang secara tidak langsung telah menyakitkan jenazah.
Dalam satu perkongsian oleh Pengerusi Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia, Ustaz Rafie Zainal proses pengawetan jenazah amat menakutkan dan dilakukan dengan mengeluarkan darah dari dalam badan dan memasukkan sejumlah 12 liter cecair formalin.
“Prosesnya tidak habis di situ sahaja. Perut jenazah akan ditebuk kemudian satu besi panjang lebih kurang 1 meter yang dinamakan sebagai trocar akan dihunus menusuk ke perut untuk menghancurkan organ-organ dalaman badan jenazah.
“Hati, perut, jantung, limpa dan usus akan dihancurkan untuk membuang darah di dalam organ sebelum kesemuanya disedut keluar.
“Ini untuk mengelakkan mayat cepat mereput dan membusuk. Meskipun luaran jasadnya nampak elok sempurna tetapi dalamannya hancur sehancur-hancurnya!
“Maka, jika kasihankan jenazah, biarlah jasadnya dikebumikan di tempat dia meninggal dunia. Hal ini pun bertepatan dengan sunnah.
“Jangan diseksa lagi setelah dia melalui peritnya sakaratulmaut. Seandainya si mati boleh berkata-kata, sudah tentu dia tidak mahu jasadnya dibawa pulang kembali,” kongsinya.