Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai “Jane Doe” telah memfailkan saman sivil terhadap penyanyi rap terkenal, Jay-Z, atau nama sebenar, Shawn Carter, dan P. Diddy, atau, Sean “Diddy” Combs. Kedua-duanya didakwa merogolnya ketika dia berusia 13 tahun pada tahun 2000 selepas menghadiri parti anjuran MTV Video Music Awards.
Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mendakwa seorang pemandu limosin (pekerja P. Diddy) memujuknya untuk menghadiri sebuah parti selepas acara tersebut dengan alasan dia “sesuai dengan apa yang Diddy cari”. Sebaik tiba di lokasi yang digambarkan sebagai rumah putih dengan jalan masuk berbentuk U, dia dipaksa menandatangani dokumen yang dipercayai perjanjian kerahsiaan sebelum memasuki parti yang dipenuhi selebriti dan aktiviti penggunaan dadah.
Wanita itu mendakwa, dia telah diberikan minuman yang menyebabkan dirinya berasa pening dan lemah sebelum pergi berehat di sebuah bilik. Ketika itu, dia mendakwa Jay-Z dan P. Diddy masuk ke bilik tersebut bersama seorang selebriti wanita lain. Jay-Z didakwa bertindak menanggalkan pakaiannya dan merogolnya, diikuti P. Diddy yang turut melakukan serangan seksual sambil diperhatikan oleh selebriti wanita berkenaan.
Jay-Z nafi
Jay-Z menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal.” Dalam kenyataannya, dia mencabar pihak pendakwa untuk membawa kes ini ke mahkamah jenayah jika tuduhan itu benar.
“Jika benar ada pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak, mereka patut dipenjarakan. Tuduhan ini keji dan sangat mengarut,” katanya.
Dia juga menyelar tindakan peguam plaintif, Tony Buzbee, yang menurutnya bertindak tidak profesional.
“Saya bukan seperti selebriti lain. Saya membesar di kawasan perumahan Brooklyn, dan kami ada prinsip serta etika. Kami melindungi kanak-kanak,” tegasnya.
P. Diddy turut menafikan
Peguam kepada P. Diddy turut menafikan semua tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai “usaha untuk memeras wang daripada selebriti yang takut akan fitnah.” Dalam kenyataan rasmi, pihak peguam P. Diddy menegaskan keyakinan terhadap fakta kes dan proses kehakiman.
P. Diddy kini sedang menghadapi tuduhan jenayah lain termasuk pemerdagangan seks dan pemerasan yang telah difailkan oleh pendakwa persekutuan di New York. Dia kini berada dalam tahanan tanpa ikat jamin sementara menunggu perbicaraan pada Mei tahun depan.
Tuntutan plaintif
Plaintif menuntut ganti rugi tanpa menyebut jumlah spesifik di bawah Akta Perlindungan Mangsa Keganasan Berasaskan Jantina New York. Menurutnya, selepas kejadian itu, dia melarikan diri dari rumah tersebut dan menghubungi bapanya dari sebuah stesen minyak.
Kes ini mencetuskan perhatian besar kerana ia melibatkan dua nama besar dalam industri hiburan Amerika Syarikat. Perbicaraan lanjut dijangka akan memberi gambaran lebih jelas mengenai tuduhan serius ini.
Sumber: NBC News