Bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak memberi peringatan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menjaga kepentingan negara dan tidak meletakkan kesalahan kepada dirinya.
Beliau berkata, PH tidak boleh membuat dakwaan sebagaimana berada di kerusi pembangkang kerana kenyataan mereka boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara.
“Mungkin fitnah dan meletakkan kesalahan kepada saya akan memberi persepsi terhadap kedudukan kewangan yang buruk membolehkan mereka tidak menunaikan janji dalam manifesto dan mengurangkan penjawat awam.
“Mereka harus ingat, rakyat dan negara perlu didahulukan. Mereka boleh beri kenyataan mengelirukan tentang 1MDB atua menceritakan separuh benar untuk menyalahkan saya. Tetapi masa untuk bermain politik sudah tamat,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya lewat malam tadi bagi menjawab tohmahan pemimpin PH.
Dalam kenyataan itu juga, Najib mendakwa kerajaan tidak berkata benar mendakwa hutang kerajaan kini 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM1 trilion. Kenyataan itu katanya akan membimbangkan pasaran kewangan dan menarik perhatian agensi penarafan dan menggocang keyakinan pelabur.
Selain itu, ia juga memberi kesan kepada Indeks Komposit Kuala Lumpur serta dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
“Kejatuhan itu menyebabkan hutang negara semakin meningkat pada kadar RM10 bilion setahun dan mungkin menyebabkan bank yang meminjam dari pasaran antarabangsa berdepan kerugian.
“Ia juga mungkin menyebabkan modal besar mengalir keluar daripada pelabur asing dan menyebabkan ringgit semakin lemah,” katanya.
Sumber: Malay Mail