Jamal sedia lelong selipar lunaskan hutang saman Teresa Kok | The Reporter

Jamal sedia lelong selipar lunaskan hutang saman Teresa Kok

Jamal Yunos bercakap kepada media di kediamannya di Ampang berhubung kos penghakiman tertunggak kepada Teresa Kok
Gambar: Malaysia Post

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan kesediaan untuk melelong barangan peribadinya termasuk kasut dan selipar bagi melunaskan kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau berkata demikian selepas kediamannya di Ampang, Kuala Lumpur dikunjungi pegawai mahkamah, bailif dan polis bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan harta alih susulan kegagalannya menjelaskan kos berkenaan.

Menurut Jamal, tindakan tersebut disifatkannya sebagai tidak perlu memandangkan beliau mendakwa sudah wujud perbincangan awal antara peguam kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara rundingan.

“RM66,000 insya-Allah bukanlah jumlah yang banyak, tetapi juga bukan jumlah yang sikit memandangkan keadaan saya masih lagi dalam rawatan kerana sakit kanser dan sebagainya.

“Saya rasa ini bukan tujuan tujuan yang murni dan niat baik untuk menyelesaikan perkara ini jadi esok saya nak jual dua, tiga (pasang) kasut, selipar saya untuk tender nak bayar RM66,000 duit Terasa…jadi saya rasa selipar saya boleh selesaikan masalah ini,” katanya

Baca juga:

Jamal turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada barangan dibawa keluar dari rumahnya, sebaliknya hanya senarai dibuat melibatkan 14 item termasuk perabot, televisyen, penghawa dingin dan peti sejuk.

Sementara itu, peguam Teresa Kok, Sankara Nair dalam satu kenyataan memaklumkan writ penyitaan dilaksanakan mengikut prosedur selepas penghuni rumah gagal memberi sebarang maklum balas terhadap panggilan telefon dan loceng pintu. Katanya, barangan yang disenaraikan kini menunggu proses pelupusan melalui lelongan.

Kes saman fitnah tersebut bermula pada 2017 berkaitan kenyataan Jamal mengenai dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). Mahkamah Tinggi pada 2022 memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 serta kos RM50,000, sebelum rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Jamal mendakwa pintu pagar dan pintu dapur kediamannya dipecahkan serta kunci ditukar ketika proses berkenaan dan menyifatkan tindakan membawa media ke lokasi sebagai satu tekanan terhadap dirinya. Beliau memaklumkan akan membuat laporan polis di IPD Ampang Jaya berhubung kejadian tersebut.

Sumber: Malaysiakini, MalaysiaGazette, MalaysiaPost

Related Posts