Jaket kanak-kanak dijual di Melbourne, disyaki guna bulu kucing | The Reporter

Jaket kanak-kanak dijual di Melbourne, disyaki guna bulu kucing

Aktivis wanita tunjuk jaket kanak-kanak dipercayai diperbuat daripada bulu kucing dalam sidang media di Melbourne
Aktivis pamerkan jaket kanak-kanak yang disyaki diperbuat daripada bulu kucing dalam satu sidang media di Melbourne.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Jaket dan topi dijual di Melbourne dikesan diperbuat daripada bulu haiwan sebenar walaupun dilabel secara mengelirukan
• Aktivis gesa kerajaan negeri haramkan semua bentuk penjualan dan import bulu haiwan
• Australia sudah lama melarang import bulu kucing dan anjing, tetapi belum ada tindakan penguatkuasaan

Penjualan jaket kanak-kanak yang dipercayai diperbuat daripada kulit dua ekor kucing di sebuah pusat beli-belah terkenal di Melbourne mencetuskan kemarahan orang ramai serta desakan agar kerajaan negeri melaksanakan larangan menyeluruh terhadap produk bulu haiwan.

Pendedahan itu hasil siasatan bersama Parti Keadilan Haiwan dan kumpulan advokasi fesyen, Collective Fashion Justice, yang membeli jaket tersebut dan menghantarnya ke makmal untuk dianalisis. Walaupun dilabelkan sebagai 100% “kulit biri-biri Australia atau bulu Australia”, ujian oleh firma Microtex menunjukkan ia sebenarnya diperbuat daripada bulu kucing dan arnab.

Dua topi beanie lain yang dijual di Queen Victoria Market dan dilabelkan sebagai 100% akrilik turut diuji. Keputusan ujian menunjukkan bahan sebenarnya ialah bulu musang dan rakun anjing.

Aktivis gesa larangan menyeluruh

Ahli Parlimen Parti Keadilan Haiwan bagi Victoria Utara, Georgie Purcell, menyifatkan penemuan ini sebagai bukti kekejaman industri bulu:

“Mesej daripada masyarakat tak boleh lebih jelas – bulu haiwan sudah tidak relevan. Sama ada kucing, anjing, arnab atau musang, semuanya tetap kejam.”

“Zaman untuk peraturan sudah berlalu. Satu-satunya langkah yang tinggal adalah haramkan sepenuhnya penjualan bulu, seperti yang dilakukan di banyak tempat lain di dunia.”

Emma Hakansson, pengasas Collective Fashion Justice, berkata pelabelan palsu bukan isu baru dan telah lama berlaku:

“Setiap kali kami hantar sampel bulu untuk ujian, makmal sahkan ia dilabel secara haram – ini bukan sesuatu yang baru.”

“Walaupun rakyat Victoria pasti terkejut dengan penjualan bulu kucing di pusat beli-belah, hakikatnya semua bulu menyebabkan penderitaan. Tiada haiwan yang patut dibunuh demi fesyen.”

Undang-undang sedia ada belum cukup kuat?

Australia mengharamkan import dan eksport bulu kucing serta anjing sejak 2004, tetapi tiada sebarang rampasan dilaporkan sejak larangan itu berkuat kuasa.

Di bawah undang-undang pengguna, syarikat boleh dikenakan denda sehingga $50 juta (RM157 juta), manakala individu boleh dikenakan sehingga $2.5 juta (RM7.8 juta) jika didapati membuat tuntutan palsu atau mengelirukan tentang produk yang dijual.

Jurucakap dari Suttons UGG memberitahu ABC bahawa pihak mereka dimaklumkan oleh pembekal bahawa jaket itu diperbuat daripada “sejenis bulu khas”, tetapi tidak dapat mengesahkan secara pasti sama ada ia termasuk bulu kucing. – Agensi

Related Posts