Tular di media sosial, gambar seorang kanak-kanak lelaki sedang bermain simulator memandu kereta, didakwa merupakan kanak-kanak yang sama memandu sebuah kereta Toyota Vios di Langkawi sehingga terbabit dalam kemalangan.
“Ngumah mak pak dia ada simulator weh hahaha ang ado? Ntah siapa yang salah ku tak tahu. Tokwan berbulu gak yang salah,” kata Lienda Hamid.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, menafikan dakwaan tersebut.
“Tidak ada simulator pemanduan di rumah kanak-kanak terbabit dan individu dalam gambar itu juga bukan kanak-kanak yang memandu Toyota Vios sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak bermain simulator itu juga tampil menafikan dakwaan tersebut.
“Jangan tuduh dan kongsi sesuatu tanpa usul periksa. Itu gambar anak saya dan dia bukan kanak-kanak lelaki yang memandu kereta hingga terbabit kemalangan di Langkawi itu,” kata Izanie.
Tegas Izanie, mereka sekeluarga tiada kaitan dengan kejadian itu dan meminta netizen berhenti menularkan gambar anaknya.
“Gambar yang tular itu adalah anak saya tetapi dia tiada kaitan dengan kejadian itu dan kami tinggal di Sentul. Anak saya juga bukan kanak-kanak lelaki yang memandu kereta itu. Saya mohon orang ramai tidak berkongsi lagi video dan gambarnya.
“Semua komen netizen menyalahkan kami dan kami sangat kesal dengan tindakan itu. Saya berkongsi minat dengan anak dalam bidang permotoran dan lumba kereta. Simulator ini dibeli untuk kegunaan saya dan baru sebulan lalu kami dedahkan kepada anak. Tetapi dia bermain di bawah pemantauan saya dan isteri,” katanya.
Sumber: Harian Metro