Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua negara Eropah, Itali dan Sepanyol, mengumumkan penghantaran kapal tentera laut masing-masing bagi membantu dan melindungi konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza, selepas kumpulan aktivis melaporkan serangan dron di perairan selatan Greece.
Menurut laporan Reuters, kerajaan Itali telah mengerahkan sebuah frigat tentera laut bernama Fasan ke lokasi flotilla selepas beberapa bot dalam konvoi berkenaan mendakwa menjadi sasaran serangan dron. Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, dalam kenyataannya menegaskan bahawa serangan tersebut “dikecam keras” dan menekankan keperluan memastikan keselamatan rakyat Itali yang menyertai misi tersebut.
Namun begitu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut menyifatkan misi flotilla itu sebagai “berbahaya dan tidak bertanggungjawab,” sambil mencadangkan agar penghantaran bantuan kemanusiaan dilakukan melalui Cyprus di bawah penyelarasan pihak berkuasa antarabangsa.
Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, dalam sidang media di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengumumkan bahawa negaranya akan menghantar kapal perang BAM Furor dari pangkalan tentera Cartagena. Kapal tersebut dilengkapi untuk operasi penyelamatan serta membawa logistik yang diperlukan bagi membantu flotilla jika berlaku sebarang insiden.
“Kapal ini akan berangkat esok (Khamis) untuk memastikan keselamatan warga Sepanyol yang terlibat, dan untuk memberi sokongan kepada misi kemanusiaan ini,” kata Sánchez dipetik Reuters. Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sepanyol “mengutuk genosid” di Gaza dan menuntut agar serangan terhadap misi bantuan dihentikan segera.
Baca juga:
- Trump janji halang Israel rampas wilayah Tebing Barat
- Budak 11 tahun masuk hospital selepas dipaksa belajar 14 jam tanpa henti
- Itali & Sepanyol hantar kapal tentera laut bantu GSF
Serangan dron yang dilaporkan ke atas bot GSF di perairan antarabangsa berhampiran pulau Gavdos, Greece, menimbulkan kebimbangan besar komuniti antarabangsa. Rakaman aktivis menunjukkan beberapa letupan kecil dan kerosakan pada kapal, namun tiada kematian dilaporkan.
Penghantaran kapal tentera laut oleh Itali dan Sepanyol ini dianggap sebagai isyarat tegas sokongan terhadap keselamatan konvoi bantuan, walaupun kedua-dua kerajaan menekankan bahawa tujuan utama adalah operasi penyelamatan serta perlindungan rakyat mereka yang berada di dalam flotilla.
Global Sumud Flotilla terdiri daripada aktivis antarabangsa, ahli parlimen, doktor serta sukarelawan kemanusiaan yang berusaha menghantar bekalan terus ke Gaza melalui laut, di sebalik sekatan ketat yang dikenakan Israel sejak bertahun lamanya.