Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran keras bahawa tempoh memberi teguran kepada pihak yang sengaja menggugat keamanan negara sudah berakhir dan mengarahkan badan penguatkuasaan segera mengambil tindakan.
Bercakap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Putrajaya hari ini, beliau merujuk dua isu panas, iaitu kontroversi pemasangan Jalur Gemilang terbalik dan kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir di Sabah, sebagai contoh bagaimana insiden tertentu digunakan untuk mengapi-apikan suasana.
“Daripada hal sebesar kematian anak kita, Zara di Sabah, hinggalah isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan, semua ini menjadi agenda menghangatkan suhu. Masa amaran telah berakhir,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Anwar turut menegaskan, sesiapa sahaja sama ada tokoh besar atau kecil, ahli politik atau masyarakat, yang terlibat dalam jenayah ugutan atau hasutan mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi.
Beliau juga mengingatkan bahawa penguat kuasa yang gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan wajar diganti dengan individu berprinsip dan berani bertindak.
Kontroversi bendera itu tercetus selepas Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengetuai perarakan ke sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas semalam walaupun polis menggesa program dihentikan. Akmal yang juga exco Melaka, dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi malam ini.
Dalam isu Zara Qairina pula, Anwar menggesa semua pihak menghentikan spekulasi liar dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka. Jangan pakai hukum semberono,” tegasnya.
Sumber: Free Malaysia Today








