Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketegangan di Kampung Sungai Baru terus menjadi tumpuan selepas seorang pegawai kanan polis cedera ketika operasi pengosongan kediaman. Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru, Syed Badli Shah Syed Osman, menegaskan kejadian itu tidak boleh dipandang ringan kerana didakwanya berpunca daripada pengaruh pihak luar.
Beliau mendakwa isu pembangunan semula kawasan itu sengaja dijadikan modal politik sehingga menjejaskan kelancaran operasi sah yang mendapat perintah mahkamah.
“Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal. Ramai sebenarnya datang kerana termakan propaganda kononnya kerajaan bertindak zalim,” katanya.
Baca juga:
- ‘Kalau ikhlas berjuang untuk Melayu, push pemaju siapkan cepat projek’ – Penduduk Kg Sungai Baru
- ‘Tindakan tegas terhadap provokasi ganggu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru’ – Ketua Polis KL
- ‘Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal, ramai orang luar buat kecoh’ – Syed Badli
Persetujuan majoriti, bantahan minoriti
Menurut rekod terkini, lebih 300 pemilik telah memilih untuk berpindah dengan pampasan yang ditawarkan, manakala hanya tinggal dua puluh lebih lot masih bertahan. Tarikh 11 September 2025 sudah ditetapkan Mahkamah Tinggi untuk melaksanakan Writ Milikan Kosong kali kedua.
Bagi Syed Badli, angka itu cukup jelas menunjukkan majoriti penduduk bersetuju. Namun bantahan kecil yang berlarutan terus mengekalkan tekanan terhadap pihak berkuasa.
Warisan atau pembangunan?
Penentangan segelintir penduduk pula bukan semata-mata soal pampasan. Ada yang tetap mahu mempertahankan rumah pusaka dengan alasan ia sebahagian daripada identiti keluarga. Jawatankuasa Hak Penduduk sebelum ini menegaskan Akta Pengambilan Tanah 1960 digunakan secara tidak adil kerana mencabul hak pemilik.
Situasi ini menyebabkan projek yang sepatutnya bermula hampir satu dekad lalu tertangguh, sekali gus membuka ruang kepada perbalahan politik yang lebih luas. Syed Badli menuntut siasatan menyeluruh agar dalang provokasi dikenakan tindakan.
Sumber: MalaysiaKini