Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemilik restoran popular Nasi Kandar Sulaiman baru-baru ini berkongsi satu pengalaman mencuit hati di media sosial selepas seorang pelanggan mendakwa dirinya sebagai “influencer” dan enggan membayar harga makanan selepas makan bersama keluarganya.
Menurut hantaran yang dibuat di laman Facebook rasmi restoran itu pada 19 Oktober lalu, pelanggan berkenaan menunjukkan akaun TikTok miliknya yang mempunyai sekitar 40,000 pengikut dan mendakwa tidak perlu membayar kerana akan membuat video promosi untuk restoran tersebut.
Bagaimanapun, pemilik restoran menjelaskan semua pelanggan tetap perlu membayar walaupun mereka mahu membuat video promosi, kerana pihak restoran tidak menjemput atau menaja sesiapa untuk datang membuat ulasan.
Beliau turut berseloroh, jika semua pelanggan berbuat demikian, perniagaannya boleh gulung tikar kerana jumlah bil pelanggan tersebut sahaja sudah mencecah RM53.60. Walaupun sudah dimaklumkan lebih awal tentang bayaran, pelanggan itu masih berkeras mahu makan percuma sambil mengulangi bahawa dirinya seorang “influencer”.
Baca juga:
- Anwar tunaikan janji MA63, Pemberian Khas Sabah meningkat hingga RM600 juta
- Suami naik angin selepas pengawal minta isterinya tutup aurat di Masjid Selat Melaka
- ‘Saya influencer, tak perlu bayar kan?’ – Pemilik restoran nasi kandar kongsi pengalaman lucu pelanggan
Reaksi netizen
Kisah itu mencetuskan perbincangan hangat di ruangan komen dengan ribuan tanda suka dan komen jenaka daripada pengguna Facebook. Ramai menyokong tindakan tegas pemilik restoran itu dan menyindir sikap sesetengah individu yang menyalahgunakan gelaran “influencer” untuk mendapatkan layanan percuma.
Ada yang menulis bahawa Nasi Kandar Sulaiman sudah cukup terkenal dan tidak memerlukan promosi percuma daripada influencer kecil. Seorang pengguna lain pula berseloroh bahawa beliau sendiri mempunyai 193,000 pengikut, jauh lebih ramai daripada pelanggan berkenaan.
Netizen turut menyifatkan tindakan pelanggan itu sebagai memalukan dan tidak profesional, malah ada yang mengingatkan bahawa menjadi influencer tidak bererti boleh menikmati segala-galanya tanpa bayaran.