Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular mengenai luahan hati seorang penyanyi dan pengacara tempatan yang tidak berpuas hati dan kurang selesa dengan tindakan pengacara lain yang menyindir artis lain di atas pentas ketika siaran langsung di pentas.
Tindakan berkenaan disifatkan seperti tidak profesional. Bagaimanapun, pengacara berkenaan berkata dia tidak sesekali akan berbunyi sekiranya dirinya tidak dipetik oleh mana-mana pihak.
Susulan itu juga, ramai pengacara senior memberikan pelbagai pandangan mengenai isu berkenaan.
Pelakon dan pengacara senior, Fauziah Ahmad Daud mengharapkan agar kemelut yang berlaku antara dua pengacara berkenaan berakhir dengan baik dan kembali jernih.
“Kedua-duanya ada kekuatan sebagai pengacara. Saya pernah menonton aksi mereka. Isu ini boleh diselesaikan secara peribadi dan profesional. Kenapa perlu dimuat naik dalam media sosial?
“Itu yang saya tak suka. Terus-terang, banyak benda di sebalik tabir yang saya tahu, tapi tak pernah muat naik dalam media sosial. Jadi, saya rasa cara ini salah, tapi itu prinsip dan pemikiran saya berbeza,” katanya.
Perlu ada keizinan
Jelasnya, perlu dengan keizinan jika lawak membahan artis atas pentas.
“Di luar negara, lawak ‘membahan’ artis atas pentas banyak dilakukan, tapi dengan keizinan.
“Sebagai contoh, saya pernah mengacara program siaran langsung bersama Salih Yaacob, kami saling membahan, tapi di belakang pentas kami berbincang dahulu.
“Kami tidak main cakap atau tukar lain kerana perhatian perlu diberikan lebih kepada anda atau sebagainya. Kami bercakap atas dasar ‘teamwork’ dan atas pentas perlukan kerjasama,” katanya.
Sumber: Berita Harian








