Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, meninggal dunia awal pagi tadi di Pusat Perubatan Normah, Kuching. Perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menerusi hantaran di Facebook.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Haji Bujang menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun.
“Dengan penuh rasa dukacita, ingin memaklumkan bahawa Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Haji Bujang, isteri kepada YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.34 pagi, 23 Jun 2025 bersamaan 26 Zulhijjah 1446H di Pusat Perubatan Normah, Kuching.
“Allahyarhamah berusia 76 tahun,” katanya.
Fazzrudin turut memaklumkan bahawa majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching manakala acara pengebumian dijadualkan berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
“Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
“Acara pengebumian akan diadakan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya,” tambahnya.