Isteri lapor suami hilang lepas balik berjudi dari Genting, rupanya suami dibunuh, dijadikan lauk kari | The Reporter

Isteri lapor suami hilang lepas balik berjudi dari Genting, rupanya suami dibunuh, dijadikan lauk kari

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kehilangan seorang lelaki yang penuh dengan misteri dan tanda tanya, mendorong isterinya membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya.

Nagaratha Vally Ramiah, membuat laporan polis (18 Disember 1984) setelah mendapati Ayakannu Marithamuthu, 34, tidak pulang ke rumah selepas pergi berjudi di Genting Highland.

Menurut perkongsian di Twitter Jeffrey Zain, polis dikatakan sangsi dengan dengan laporan yang dibuat oleh Nagaratha memandangkan suaminya, Ayakannu, bukanlah seorang yang berduit. Tambahan, dia baru sahaja meminta gaji pendahuluan (advance) SG$600 dari majikan untuk membeli buku-buku sekolah anaknya.

Isteri dan keluarga ditahan

Polis percaya, Ayakannu yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah chalet di Changi, telah meninggalkan keluarganya atas kerelaannya sendiri. Siasatan juga mendapati dia telah membuat permohonan cuti Hari Natal pada 21 dan 22 Disember.

Menurut pihak polis, kehilangan bapa kepada tiga anak itu bukanlah sesuatu yang aneh dan membimbangkan. Selepas mengambil keterangan 30 individu sepanjang lima bulan, polis telah mengenal pasti lapan suspek yang kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut. Antaranya adalah Nagaratha bersama dengan tiga adik-beradik lelaki, adik dan kakak ipar, serta ibu kandung Nagaratha.

“Walaubagaimanapun kesemua suspek menafikan penglibatan mereka dalam kes kehilangan Ayakannu, sehinggalah salah seorang daripada suspek menjadi gemuruh dan takut.

“Suspek mendedahkan, kepala Ayakannu dipukul dengan batang besi sehingga mati, mayatnya dihiris dan dimasak dalam gulai kari,” tulis Jeffrey Zain.

Dihiris dan dimasak dalam gulai kari

Pada hari kejadian, 12 Disember 1984, tiga beradik Nagaratha membawa Ayakannu ke kuarters pengawal keselamatan Gereja Orchard Road Presbyterian. Tempat salah seorang suspek bekerja. Di sebelah malam, mangsa dibelasah sampai mati.

“Tiga bersaudara itu kemudian memotong dan menghiris mayat abang ipar mereka dan memasaknya dalam gulai kari yang dicampur dengan rempah ratus dan serbuk cili yang pedas untuk mengurangkan bau hamis mayat.

“Tugas memotong menjadi lebih mudah memandangkan salah seorang dari mereka bekerja sebagai pemotong daging di pasar. Tulang-temulang Ayakannu diasingkan ke dalam beberapa beg plastik hitam. Kemudian dibuang di beberapa tempat pembuangan sampah sekitar lokasi mereka tinggal,” tulisnya.

Isteri tak tahan dengan sikap suami kaki pukul

27 Mac 1987, Nagaratha dan adik beradiknya telah didakwa di mahkmah atas tuduhan membunuh. Kakak ipar dan ibunya pula turut didakwa atas pertuduhan bersubahat.

Punca sebenar kejadian tidak pernah didedahkan, namun media Singapura membuat spekulasi mengatakan ia berpunca dari sikap panas baran mangsa, kaki botol dan selalu memukul isterinya.

Nagaratha dikatakan tidak tahan dengan sikap suaminya yang menjadi ganas setiap kali dia mabuk, sehingga memaksanya berkongsi masalah dengan adik-beradiknya.

Kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah. Selepas tiga bulan kemudian, mereka dibebaskan semula. Ini kerana pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti yang mencukupi (mayat mangsa & senjata pembunuhan) untuk mendakwa mereka.

Disebalik peristiwa itu, timbul pelbagai spekulasi yang mengatakan kari daging manusia itu sememangnya wujud. Malah pernah dihidangkan di Gereja Orchard Road Presbyterian.

“Saya rasa macam pernah makan kari daging di situ. Dagingnya tak macam kambing pun. Rasanya pun aneh,” komen seorang saksi.

Sumber: Jeffrey Zain

Related Posts