Sebanyak 51 kejadian letupan dan insiden keganasan dilaporkan berlaku secara serentak di tiga daerah di Selatan Thailand, iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani, dalam tempoh hampir dua jam pada malam Sabtu.
Susulan kejadian itu, Polis Kelantan menasihatkan rakyat Malaysia, khususnya penduduk negeri berkenaan, supaya menangguhkan sementara perjalanan ke negara jiran demi keselamatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perkembangan keselamatan di Selatan Thailand perlu diberi perhatian serius berikutan insiden keganasan yang dilaporkan berlaku hampir setiap hari.
Baca juga:
- Lembaga Adat Luak Jelebu dakwa pelantikan Undang ke-17 tidak sah
- Pemandu BYD Seal mengaku tak bersalah atas tiga pertuduhan
- Tular SUV masuk landasan kereta api, KTMB tampil beri penjelasan
Dalam kejadian malam Sabtu itu, serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah membabitkan pelbagai bentuk keganasan termasuk pengeboman, pembakaran pejabat serta kenderaan kerajaan dan letupan menara telekomunikasi.
Insiden turut melibatkan rompakan, letupan di kedai serbaneka serta pembakaran tayar di beberapa lokasi.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut mengingatkan rakyat Malaysia yang memasuki Thailand supaya mematuhi undang-undang dan peraturan negara berkenaan, terutama berkaitan kesalahan trafik.
Katanya, pihak berkuasa Thailand kini meningkatkan operasi penguatkuasaan dan kenderaan dari Malaysia yang didapati melanggar peraturan trafik berdepan tindakan saman.
Sumber: Sinar Harian








