Inilah Pemandu Uber Yang Paling Senyap Di Dunia - The Reporter

Inilah Pemandu Uber Yang Paling Senyap Di Dunia

Semalam, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan Uber untuk balik ke rumah setelah isteri menggunakan kereta saya. Bila sebuah kereta Toyota Vios menghampiri, saya menerima mesej dari aplikasi Uber. 

“Your driver (Andrew) has difficulty speaking.” 
Saya hairan, lalu saya masuk dan pemandunya memberikan senyuman serta menunjukkan map di telefonnya untuk mengesahkan destinasi yang ingin dituju. 
“Yeah bro,” balas saya. 
Saya beritahu Andrew untuk menggunakan jalan yang biasa saya gunakan untuk pulang ke rumah, namun Andrew tidak memberikan sebarang respon. Kemudian barulah saya tersedar, rupa-rupanya Andrew pekak. 
Saya mencuit bahunya dan memberikan isyarat yang saya mahu duduk di sebelah depan berbanding tempat duduk belakang agar saya dapat menunjukkan kepadanya jalan-jalan yang ingin dilalui, dengan menggunakan isyarat tangan.
Perjalanan selama 25 minit itu merupakan pengalaman yang amat berharga dalam hidup saya. Menjadi seorang yang tidak mampu bercakap secara semulajadi, tanpa dapat mengungkap sebarang kata-kata amatlah sukar bagi saya untuk berkomunikasi dengannya. Sepanjang perjalanan 10 minit pertama, senyap sunyi dalam kereta. 
Dalam masa 10 minit itu juga, banyak perkara yang saya fikirkan. Bagaimana jika saya pekak? Apa rasanya? Mampukah saya meneruskan kehidupan ini, lebih-lebih lagi menjadi pemandu Uber? 
Segala persoalan itu membuatkan saya terus menaip di iPhone, bertanya bagaimana Andrew boleh menjadi pekak. Katanya, dia pekak sejak lahir lagi. Dari situ, kami mula berbual secara menaip teks di iPhone. 

Andrew menjelaskan dia baru saja kehilangan kerja sebagai pelukis plan di sebuah syarikat. Itulah sebabnya dia bekerja sebagai pemandu Uber. Andrew berkahwin dengan isterinya yang juga pekak, mempunyai tiga anak yang boleh mendengar dan bercakap. 

Sampai di destinasi, saya beritahu Andrew yang saya mahu belanja anak-anaknya aiskrim dan saya hulur SG$50. Namun dia menolak, tetapi saya tetap mahu memberikan dan memaksanya mengambil wang itu. Akhirnya dia menerima dan saya keluar dari keretanya. 
Kemudian, bila saya tersedar SG$50 itu terlalu kecil nilainya berbanding pengajaran yang Andrew telah berikan kepada saya dalam masa 25 minit. 
Saya tulis pengalaman ini kerana saya berharap agar kita dapat belajar dari ketabahan Andrew menempuhi kehidupan sebagai orang pekak.
Terima kasih Andrew sebab mengajar saya diam itu adalah emas, keberanian (bayangkan hidup tanpa mampu bercakap/mendengar dan dia belajar menjadi pelukis pelan), mengajar saya agar menjadi seorang yang positif dalam kehidupan ini meskipun mempunyai masalah pendengaran, mengajar saya rasa bersyukur dan berterima kasih terhadap perkara-perkara yang kita selalu ambil mudah, mengajar saya erti bertanggungjawab sebagai ketua rumah biarpun berdepan dengan waktu yang sukar.
Adakalanya kita kecewa dan sedih dengan perkara-perkara yang kecil yang dianggap besar dan penting pada kita. Namun, jika kita muhasabah diri, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Asalkan hati kita dirawat terlebih dahulu. 
Saya amat berharap kisah Andrew ini dapat memberikan inspirasi dan harapan serta kekuatan bahawa tiada apa yang mustahil. Juga terima kasih kepada pihak Uber yang menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai tanpa sebarang layanan diskriminasi. Saya berdoa agar Tuhan sentiasa melindungi Andrew dan keluarga serta murahkan rezeki mereka. – Guangtong Li | PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!