Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pempengaruh dari China, dikenali sebagai, Niao Niao, baru-baru ini menjadi perhatian selepas tersalah anggap nasi lemak Malaysia sebagai zong zi atau bak chang, iaitu sejenis kuih tradisional kaum Cina.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di Douyin pada 22 Disember lalu, Niao Niao menunjukkan dirinya membeli makanan berbentuk piramid yang dibungkus dengan daun pisang dari Malaysia.
Beliau dengan yakin berkata, “Saya membeli zong zi dari Malaysia. Ini tidak kelihatan seperti kuih bak chang yang biasa saya lihat.”
Apabila membukanya, Niao Niao kelihatan terkejut melihat telur dan sambal di dalam bungkusan tersebut. Selepas merasa makanan itu, dia mengulas dengan nada hairan, “Ini pedas”. Di penghujung video, dia menyimpulkan kuih yang dibelinya itu adalah bak cang versi Malaysia.
Netizen perbetulkan kesilapannya
Video tersebut menjadi tular, dan netizen tidak melepaskan peluang untuk membetulkan serta mengusiknya. Seorang pengguna menyindir dengan memuat naik gambar kucing British Shorthair dan berkata, “Ini gambar harimau yang saya ambil di China.”
Ada juga yang berjenaka, mengatakan bahawa makanan itu sebenarnya adalah zong zi versi Singapura. Sementara itu, di Facebook, seorang pengguna menyatakan walaupun keliru, kedua-duanya kelihatan serupa dan mencadangkan nasi lemak sebagai hidangan sempena perayaan Dragon Boat Festival.
Mohon maaf dan mengaku jadi peminat nasi lemak
Selepas menerima pelbagai komen dan mesej, Niao Niao akhirnya memuat naik video baharu untuk meminta maaf atas kekeliruannya.
“Saya minta maaf kerana menyebabkan semua orang marah kerana sebiji kuih,” katanya secara bergurau.
Niao Niao turut mengakui dia kini menjadi peminat nasi lemak dan dengan ceria menari sambil menyatakan kecintaannya terhadap hidangan tersebut. – Agensi








