Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Individu yang berjaga lewat malam dilaporkan mempunyai risiko sembilan peratus lebih tinggi untuk meninggal dunia lebih awal, terutamanya disebabkan oleh tabiat tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol, menurut kajian.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Chronobiology International ini melibatkan hampir 23,000 peserta di Finland selama lebih 37 tahun.
Peserta diminta mengenal pasti sama ada mereka lebih cenderung aktif pada waktu pagi atau malam. Data ini kemudian dianalisis bersama faktor lain seperti tahap pendidikan, status merokok, pengambilan alkohol, dan jumlah waktu tidur peserta.
Hasil kajian mendapati, individu yang aktif pada waktu malam lebih banyak merokok dan minum alkohol berbanding mereka yang aktif pada waktu pagi. Mereka juga kurang mendapat tidur lapan jam yang disyorkan, sekali gus menyumbang kepada risiko kesihatan.
Pakar menyatakan risiko kematian ini bukan disebabkan waktu tidur semata-mata, tetapi tabiat tidak sihat yang lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang tidur lewat.
Dr. Bhanu Prakash Kolla menjelaskan, “Mereka yang cenderung berjaga malam lebih mudah terlibat dengan tabiat seperti minum alkohol dan merokok.”
Kajian ini sekali lagi mengukuhkan bukti bahawa jumlah waktu tidur, kualiti tidur, dan tabiat tidur yang baik memainkan peranan penting dalam kesihatan. Individu disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat termasuk tidur awal untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan. – Agensi