Setiap orang ada impian ke Makkah, tapi tidak semua mendapat ‘jemputan’ pada waktunya. Begitulah juga dengan pelakon Nora Danish yang mengakui tahun ini bukan masanya untuk dia menunaikan ibadah haji walaupun sudah bersedia dari segi fizikal dan jiwa.
Memetik laporan mStar Online, Nora, 43, menyatakan bahawa perancangannya ke Tanah Suci terpaksa dipendam dahulu. Bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana belum tiba giliran.
“Saya nak sangat pergi haji tahun ini tapi mungkin belum ada rezeki. Malah saya dah persiapkan diri sebab itu adalah impian saya sekarang,” ujarnya.
Bagi Nora, urusan ke Makkah bukan semata-mata soal wang dan kemampuan. Ia tentang waktu yang ditentukan oleh-Nya.
“Orang kata pergi haji atas jemputan Allah, jadi mungkin belum lagi untuk saya tahun ini.”
Namun di sebalik rasa reda itu, ada juga harapan yang tersimpan. Nora percaya, mungkin ada hikmah lebih besar termasuk kemungkinan menunaikan ibadah itu suatu hari nanti bersama insan istimewa.
“Insya-Allah ada rezeki tahun depan ke? Kita tak tahu rancangan Allah. Mungkin Allah nak saya pergi tunaikan haji dengan pasangan.”
Sudah dua kali gagal dalam rumah tangga tidak membuatkan Nora menutup hatinya. Dia percaya setiap manusia ditakdirkan berpasangan dan hidup sendirian bukan sesuatu yang kekal.
“Kehidupan ini memang dicipta berpasangan, begitu juga saya. Kalau hidup sendirian bosan pula,” katanya.
Untuk rekod, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada tahun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, kini berusia 15 tahun. Perkahwinan itu hanya bertahan dua tahun.
Kemudian pada 2017, Nora mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri dan dikurniakan anak lelaki kedua, Mohamed Neqayl, kini berusia 7 tahun. Namun hubungan itu juga berakhir dengan penceraian pada Jun 2024.








