Ibu dakwa anak dibuli masa PJ yang menyebabkan kecederaan serius pada leher | The Reporter

Ibu dakwa anak dibuli masa PJ yang menyebabkan kecederaan serius pada leher

Seorang murid Tahun Dua di sebuah sekolah rendah Georgetown dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian leher ketika bermain bola sepak, semasa kelas Pendidikan Jasmani.

Ibu kepada murid berkenaan tidak menolak kemungkinan yang anaknya dibuli oleh rakan sekolah. Namun, kenyataan wanita itu yang dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook telah pun dipadamkan.

Susulan dakwaan itu tular di media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Chris Lee Chin Kit telah bertemu dengan dua beranak berkenaan untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengadakan mesyuarat bersama wakil sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut.

“Kekesalan ditunjukkan semua terhadap kejadian yang menyebabkan kecederaan kepada murid itu dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kelas Pendidikan Jasmani.

“Justeru, saya memohon supaya tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai perkara itu dan yakin semua pihak sudah melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka bagi mencegah kejadian daripada berulang.

“Sekiranya berlaku sebarang masalah disiplin, kerjasama penuh dengan semua pihak berkaitan akan diambil bagi memastikan keselamatan murid malah mangsa akan terus diberi sokongan apabila dia pulih daripada kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya sedang melakukan semakan mengenai kejadian itu.

Sebelum ini, ibu mangsa mendakwa dia telah membuat aduan mengenai kejadian tersebut kepada pihak sekolah. Tetapi tidak menerima sebarang maklum balas. Malah dia mendakwa pihak sekolah tidak mahu mengambil tindakan terhadap murid yang membuli anaknya.

Pengadu mendakwa leher anaknya mengalami kecederaan serius pada vertebra serviks dan otot yang menjejaskan bahu dan kakinya (tibia). Selain itu, doktor mengesahkan mangsa memerlukan terapi fizikal jangka panjang untuk pulih.

Sumber: Harian Metro

Related Posts