Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita bersama anak perempuannya ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta BMW yang diparkir di tepi jalan hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda (BBU) malam kelmarin. Kejadian yang mengejutkan itu disedari orang awam kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 10 malam. Mayat wanita berusia 44 tahun itu dan anak bongsunya yang berusia 14 tahun telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
“Setakat ini, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah. Kami percaya kejadian ini berpunca daripada kebocoran saluran petrol yang menyebabkan pemeluwapan gas memasuki sistem pendingin hawa kereta. Enjin kenderaan masih hidup ketika mayat ditemui,” katanya.
Berdasarkan perbualan terakhir mangsa di aplikasi WhatsApp, wanita itu memberitahu rakannya bahawa dia baru selesai membeli-belah di sekitar kawasan BBU dan berhenti berehat kerana berasa kurang sihat.
Terkilan tak periksa kereta lebih awal
Seorang pengawal keselamatan, Ahmad, 60, yang bekerja berhampiran lokasi kejadian, mengakui terkilan kerana tidak memeriksa kenderaan tersebut lebih awal. Ahmad menyedari kehadiran kereta BMW itu sejak jam 2 petang tetapi tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku.
“Kereta itu berhenti di situ dengan enjin masih hidup. Saya pernah dengar bunyi pedal minyak ditekan beberapa kali, tetapi cermin gelap menghalang pandangan ke dalam kereta. Ketika tamat bekerja jam 7 petang, kereta masih di situ. Saya tak sangka ibu dan anak itu sudah tiada,” katanya.
Jenazah dua beranak berkenaan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, kelmarin, selepas proses bedah siasat selesai.
Polis meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai kes ini. Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 atau menghubungi Inspektor Helmy Halim di 012-5759953.
Sumber: Harian Metro