Dari hanya sekadar suka-suka, perlumbaan siput sedut yang diberi gelaran sukan Olimput semakin tular dan meraih puluhan ribu tontonan.
Pelbagai pihak pula tampil menyokong konten yang dibuat oleh lelaki yang dikenali sebagai tan sri _ash.
Namun, ada pihak mula mempersoalkan hukum dari sudut agama tentang perlumbaan yang dibuat ini.
Menjawab persoalan ini, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi hantaran di Facebook menjelaskan hukum asal bagi sesuatu perlumbaan adalah harus.
Tetapi, jika ia melibatkan perjudian ketika berlumba, maka hukumnya menjadi haram.
“Bermula hukum asal bagi berlumba itu adalah harus ia samada yang berlumba itu manusia atau haiwan.
“Akan tetapi jika ada perkara yang dilarang agama seperti perjudian ketika berlumba itu maka hukumnya berubah daripada harus menjadi haram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan hukum harus bagi perlumbaan itu adalah tidak menyeksa haiwan terbabit.
“Kesimpulannya perlumbaan siput tersebut jika tidak ada disertakan dengan pertaruhan maka hukumnya tidaklah haram,” katanya.