'Nak teruskan kecam? Itu hak awak', Abang Wiring mahu bersihkan nama | The Reporter

‘Nak teruskan kecam? Itu hak awak’, Abang Wiring mahu bersihkan nama

Gambar Hairul Ezuan bersama isteri serta guru wanita yang dikaitkan dalam isu hubungan sulit
Hairul Ezuan bersama isterinya (kiri), manakala guru wanita yang terlibat dalam kontroversi turut kelihatan dalam gambar kecil kanan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Hairul Ezuan atau Abang Wiring, lelaki yang dikaitkan dengan isu hubungan sulit bersama seorang guru wanita, tampil memberi kenyataan terbuka di Facebook bagi menjelaskan keadaan sebenar dan mempertahankan dirinya daripada kecaman awam.

“Untuk kes yang viral pasal saya ni, saya akan huraikan satu persatu setiap cerita yang berlaku untuk kefahaman semua pihak. Saya akan bersihkan semula nama saya. Insya-Allah,” tulis Hairul dalam hantaran tersebut.

Menurutnya, dia mengakui kesilapan yang dilakukan dan menyifatkan isu ini sebagai ujian peribadi buat dirinya. Namun, dia merayu agar anak dan ahli keluarganya tidak dijadikan sasaran.

“Nak teruskan kecam tak ada masalah, itu hak awak. Tapi tolong jangan babitkan anak dan ahli keluarga saya. Tolong asingkan bab kerja dan hal peribadi,” katanya.

Hairul turut mengingatkan orang ramai tentang bahaya menyebarkan atau mengulas sesuatu tanpa berfikir panjang, lebih-lebih lagi apabila melibatkan dosa sesama manusia.

“Cuma saya nak cakap, dosa dengan Tuhan kita boleh bertaubat. Tapi kalau dosa dengan orang, selagi orang tak ampunkan, Allah takkan ampunkan. Hati-hati dalam komen dan menyebarkan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, beberapa tangkap layar perbualan antara Hairul dan seorang guru wanita yang berunsur peribadi dan lucah tular di media sosial, mencetuskan kecaman hebat netizen. Guru wanita terbabit kemudian tampil memohon maaf atas apa yang berlaku.

Susulan kontroversi itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan guru wanita berkenaan telah direhatkan buat sementara waktu daripada tugas mengajar bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru tersebut masih menjalankan tugas sebagai kakitangan awam sepanjang siasatan berlangsung. Beliau juga menegaskan KPM memandang serius isu berkaitan integriti dan kelakuan guru, serta komited untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran etika.

Related Posts