Kes HFMD Johor meningkat, lebih 11,000 kanak-kanak dijangkiti | The Reporter

Kes HFMD Johor meningkat, lebih 11,000 kanak-kanak dijangkiti

Tangan kanak-kanak dicuci dengan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan HFMD
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor semakin membimbangkan apabila jumlah mingguan terus meningkat dan kes keseluruhan sejak awal tahun kini melebihi 11,000, sekali gus menunjukkan penularan yang jauh lebih serius berbanding tahun-tahun lalu.

Lonjakan kes harian cetus kebimbangan

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, sebanyak 1,687 kes HFMD dilaporkan dalam minggu terakhir April hingga awal Mei, meningkat 17.1% berbanding 1,441 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, sejak awal Januari 2025, Johor telah merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak 11,551 kes HFMD, sekali gus menjadikannya antara negeri yang paling terjejas setakat ini.

79 kluster dikesan di pusat jagaan kanak-kanak

Penularan HFMD banyak berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak. Setakat ini, sebanyak 79 kluster telah dikesan melibatkan 26 tabika, 20 prasekolah, 18 taska, 13 tadika, sebuah sekolah rendah dan sebuah rumah persendirian.

Sebanyak 400 kes dikesan daripada 3,202 individu terdedah dengan kadar serangan mencecah hingga 42.9%.

Majoriti jangkitan melibatkan kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun dengan 9,396 kes (81.3%), diikuti kumpulan umur 7–12 tahun sebanyak 1,853 kes, manakala selebihnya melibatkan remaja dan dewasa.

Surat amaran dikeluarkan, langkah kawalan dipertingkat

Bagi membendung penularan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan dua surat amaran pada Mac lalu kepada semua pengarah hospital, pegawai kesihatan, pengusaha serta guru-guru di taska, tadika, prasekolah dan taman permainan kanak-kanak.

Langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan termasuk disinfeksi premis, edaran maklumat kesihatan, dan pemantauan harian di pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak.

“Semua institusi perlu pastikan kebersihan diri dan kawalan infeksi diamalkan setiap masa — termasuk membasuh tangan, mencuci alat mainan dan permukaan seperti meja serta lantai sekurang-kurangnya dua kali sehari,” kata Ling Tian Soon.

Tambahnya, pelajar yang menunjukkan simptom HFMD seperti lepuh di mulut, tangan dan kaki perlu diasingkan segera sementara menunggu tindakan lanjut daripada ibu bapa atau penjaga.

Sumber: Harian Metro

Related Posts