`Hot Daddy’, 2 rakan wanita dilepas tanpa dibebaskan - The Reporter

`Hot Daddy’, 2 rakan wanita dilepas tanpa dibebaskan

Sumber Gambar: Astro Awani

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan seorang lelaki dikenali sebagai Hot Daddy dan dua rakan wanitanya daripada pertuduhan terlibat dalam aktiviti membuat pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah serta memiliki bahan lucah.

Keputusan dibuat oleh Hakim Siti Shakirah Mohtarudin selepas waran tangkap terhadap mereka tidak dapat disempurnakan dan penjamin gagal hadir memberi penjelasan.

Selain Hot Daddy, atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, mahkamah turut melepas tanpa membebaskan Norshazrina Md Zamri dan Norhidayah Mahadi.

Siti Shakirah berkata usaha mengesan tertuduh sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan sebanyak tiga kali namun waran tangkap masih belum dapat disempurnakan.

Terdahulu, Hasli Ikhwan Arif, 32, Norshazrina, 27, dan Norhidayah, 24, didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan mengunakan aplikasi X.

Memetik laporan dari Harian Metro, perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini pada 10.10 pagi 16 Januari 2024 mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa menjual rakaman video lucah di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada 11.54 malam 15 Januari lalu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hasli Ikhwan dan Norhidayah turut berdepan pertuduhan memiliki bahan lucah di Pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman pada 4 petang 22 Jan 2024 mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!