Hidup serba daif, OKU kutip makanan tamat tempoh demi anak-anak - The Reporter

Hidup serba daif, OKU kutip makanan tamat tempoh demi anak-anak

OKU kutip makanan tamat tempoh
Foto: Harian Metro (Baharom Bakar)

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Kesempitan hidup memaksa seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal bersama isteri dan tiga anaknya bergantung kepada makanan yang telah tamat tempoh untuk meneruskan kehidupan.

Jani Yusof, 62, yang mengalami kecacatan pada kaki kanan berkata, dia dan isterinya, Maznah Abu Bakar, 43, tidak mempunyai pilihan selain mengutip barangan yang dibuang pemilik pasar raya, termasuk tepung gandum, susu, biskut dan lampin pakai buang.

“Kami tak ambil sisa makanan yang telah rosak. Kebiasaannya makanan yang masih dalam bungkusan tapi sudah tamat tempoh sahaja. Itu pun, kami akan pastikan ia masih boleh dimakan dan tidak berbahaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit.

Namun, katanya, anak bongsu mereka, Nur Jannah, 2, pernah mengalami sakit perut dan cirit-birit selepas meminum susu tamat tempoh yang mereka kutip dari tong sampah.

Pendapatan tak sampai RM200 sebulan

Setiap hari, Jani dan Maznah keluar menaiki motosikal roda tiga untuk mencari barangan kitar semula seperti botol, plastik dan besi buruk bagi dijual.

“Pendapatan kami tak sampai RM200 sebulan. Isteri pula tidak mampu bekerja kerana menghidap darah tinggi, kencing manis dan asma. Segala perbelanjaan bergantung kepada bantuan RM4,000 setahun dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tapi duit itu cepat habis sebab kami ada tiga anak, termasuk dua yang masih bersekolah, Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7,” katanya.

Jani berkata, sebahagian wang bantuan itu digunakan untuk membeli motosikal roda tiga dan membaiki rumah mereka yang uzur, termasuk pemasangan kabel elektrik.

Tinggal di rumah usang, dinding kain rentang

Tinjauan di kediaman keluarga itu mendapati rumah mereka dibina daripada papan lapis dan kain rentang buangan sebagai dinding.

“Jika jumpa kayu, papan atau perca kain ketika mencari barangan terbuang, kami akan kutip dan jadikan dinding rumah. Masa musim tengkujuh, memang kami basah sebab air hujan tempias masuk,” katanya.

Menyedari kesusahan mereka, pelbagai pihak tampil membantu termasuk Persatuan Hawker Centre (PHC) Terengganu yang membawa dua anak Jani membeli pakaian seragam sekolah di sebuah pasar raya di Gong Badak.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan pula berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan menambah bantuan sara hidup atau membaiki rumah keluarga ini bergantung kepada hasil siasatan pegawai penyiasat.

Dapat perhatian Perdana Menteri

Nasib keluarga Jani turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kisah mereka tular.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainuddin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk keluarga itu.

“Kita akan jadikan dua anak pasangan ini sebagai keluarga angkat AMK Terengganu. Pendidikan mereka adalah keutamaan, termasuk peralatan sekolah.

“Kami juga sedang berusaha mencari jalan untuk membaiki rumah keluarga ini agar mereka dapat hidup lebih selesa,” katanya yang turut menyampaikan bantuan tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Jani di talian 019-4133790 atau menyumbang melalui akaun BSN 1110229000203323.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro, Fisabilillah TRG

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!