Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, menyeru supaya semua bentuk keganasan dan provokasi berkaitan agama serta kaum dihentikan segera.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pelaku tanpa mengira latar belakang.
“Enough is enough! Sudah tiba masanya semua bentuk keganasan dan provokasi agama serta kaum dihentikan sepenuhnya,” katanya.
Steven Sim menegaskan bahawa pihak berkuasa harus bertindak segera dan mengenakan hukuman paling keras terhadap mereka yang terlibat, sama ada individu yang memijak Al-Quran, simbol agama Hindu, melakukan provokasi meroboh kuil, vandalisme atau membakar kenderaan.
Baca juga:
- ‘Mak cik nak jalan kaki, anak kemalangan’ – Pilu ibu kehilangan anak tunggal lelaki
- Kanak-kanak tujuh tahun parah diserang anjing liar ketika bermain
- Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, seludup kokain RM3.2 juta dalam kasut
Beliau menekankan bahawa rakyat Malaysia harus bersatu menolak sebarang ejen provokasi dan ekstremisme.
“Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama. Ketika dunia sedang bergolak, rakyat Malaysia harus bersatu untuk mengukuhkan perniagaan dan membangunkan ekonomi negara demi kesejahteraan semua,” tambahnya.
Steven Sim turut menyeru semua pihak bertanggungjawab dalam menurunkan suhu perkauman dalam masyarakat majmuk. Beliau menggesa rakyat berhenti menyebar dan berkongsi kebencian serta mengelakkan tindakan yang boleh menambah perpecahan.








