Lubang benam atau sinkhole, menjadi mimpi ngeri buat sesiapa sahaja.
Susulan isu yang melanda seorang pelancong wanita dari India yang terjatuh dalam lubang benam di Masjid India, Kuala Lumpur, ramai yang mula berkongsikan filem yang berkait dengan isu lubang benam ini.
Filem Sinkhole, sebuah filem korea yang memaparkan filem aksi komedi yang mengisahkan tentang seorang lelaki, Kim Sung Kyun yang baru sahaja membeli rumah yang diimpikannya selama 11 tahun bersama keluarga.
Pada mulanya dia sekeluarga dapat berasakan struktur rumah berkenaan seolah senget dan tidak stabil apabila melihat guli anaknya bergolek dengan sendiri, namun mereka menafikan dan mengganggap itu hanya perasaan mereka semata-mata sehinggalah hujan pada hari tersebut tidak berhenti-henti.
Kegembiraan memiliki rumah berkenaan bagaikan direntap apabila tiba-tiba sahaja rumah yang didiami mereka runtuh gara-gara kemunculan lubang besar yang menelan seluruh rumah.
Ketika kejadian berlaku, Kim Sung Kyun, anak lelaki, jiran serta dua orang rakan sekerjanya terperangkap dalam runtuhan berkenaan, manakala isterinya terselamat kerana sebelum kejadian, dia keluar ke pasar.
Di sebalik bencana ini, mereka terpaksa bergelut dengan bermacam-macam cara untuk bertahan. Walaupun ada antara mereka seolah sudah berputus asa, namun mereka kuatkan semangat sedaya upaya untuk naik ke permukaan.
Bencana ini bukan hanya menggambarkan situasi usaha mereka untuk menyelamatkan diri, tetapi juga diterapkan tentang kerjasama, kasih sayang dan juga unsur jenaka bagi mengelakkan situasi lebih panik.