Seorang lelaki berusia 50 tahun maut dalam keadaan mengerikan selepas diserang dan dibaham oleh singa peliharaannya sendiri di kediamannya di Kufa, Najaf, Iraq.
Menurut jurucakap Polis Najaf, Mufid Tahir, kejadian berlaku pada Khamis lalu ketika mangsa sedang berada di halaman rumahnya.
“Hari ini di sebuah rumah di kota Kufa, Najaf, seorang lelaki telah diserang oleh seekor singa dan meninggal dunia serta-merta.”
Mangsa, Aqil Fakhr al-Din, dipercayai sudah lama memelihara haiwan liar termasuk beberapa ekor singa. Namun, singa yang baru dibelinya itu tiba-tiba bertindak ganas dan menyerang tanpa sebarang tanda amaran.
Akibat daripada serangan itu, sebahagian besar badan mangsa telah dimakan dan pihak berkuasa terpaksa menembak mati haiwan berkenaan kerana ia enggan meninggalkan sisa tubuh mangsa.
Sebelum itu, penduduk setempat dilaporkan cuba menyelamatkan mangsa. Salah seorang jirannya menembak singa itu menggunakan senapang Kalashnikov sebanyak tujuh das tembakan. Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Al-Sadr Medical City di Najaf.
Rakaman video bangkai singa yang terbaring di halaman rumah itu tular di media sosial dan mengundang persoalan orang ramai tentang bagaimana haiwan liar sebesar itu boleh dipelihara di kawasan kediaman.
Difahamkan, al-Din membeli singa itu dengan niat untuk menjinakkannya, namun niat tersebut akhirnya mengundang tragedi. – Agensi








