Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Netanyahu beri amaran: ancaman Iran bukan hanya terhadap Israel, tapi juga AS.
• Israel lancar operasi ketenteraan terhadap Iran, sasar saintis dan fasiliti nuklear.
• Amerika Syarikat masih enggan terlibat secara langsung dalam konflik, tapi beri sokongan strategik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran keras terhadap ancaman Iran dalam wawancara eksklusif bersama ABC News pada 16 Jun lalu dengan menyatakan ancaman terhadap Israel juga berpotensi merebak ke Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataannya, Netanyahu berkata, “Hari ini Tel Aviv, esok New York. Saya faham slogan ‘America First’, tapi saya tak faham ‘America Dead’.” Beliau memberi peringatan bahaya yang dibawa oleh Iran bukan hanya tertumpu kepada Israel, malah turut mengancam negara-negara Barat termasuk AS.
Apa maksud Netanyahu dengan ‘esok New York’?
Kenyataan Netanyahu itu dibuat selepas Israel melancarkan Operasi Rising Lion yang menyasarkan beberapa fasiliti nuklear Iran dan saintis utama yang terlibat dalam program peluru berpandu balistik. Serangan tersebut dianggap sebagai tindakan balas terhadap ancaman berterusan Iran yang didakwa sedang berada di ‘minit akhir’ sebelum mampu menghasilkan senjata nuklear.
Menurut Netanyahu, serangan ini penting untuk menghalang Iran daripada menjejaskan keselamatan bukan sahaja di Timur Tengah, tetapi juga di pentas global.
“Ia bukan saja tentang Israel, mereka (Iran) sering melaungkan ‘Mati untuk Amerika’ dan ‘Mati untuk Israel’. Ini adalah pertempuran antara pihak baik dan pihak jahat,” tegasnya.
Netanyahu turut menyifatkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sebagai ‘Hitler moden’ dan mencadangkan menamatkan pemerintahan Khamenei akan menghentikan konflik, bukan menambahnya.
Amerika Syarikat masih enggan terlibat secara langsung
Meskipun Netanyahu memberi isyarat jelas Iran merupakan ancaman global, Presiden Donald Trump setakat ini belum menunjukkan komitmen untuk melibatkan tentera Amerika secara langsung. Menurut laporan, Trump menolak permintaan Israel untuk menyertai operasi terhadap Iran atas kebimbangan ia akan mencetuskan perang besar yang sukar dikawal.
Walau bagaimanapun, Amerika tetap memperkukuh kehadiran tenteranya di rantau Teluk dan Laut Mediterranean, serta menyatakan sokongan terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri. AS juga mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk serangan balas Iran dan memberi amaran sebarang tindakan terhadap kepentingan atau pangkalan AS akan dibalas segera.
Adakah kenyataan Netanyahu bakal cetus ketegangan baharu?
Kenyataan keras Netanyahu dijangka akan mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin dunia. Beberapa negara seperti Perancis dan Turki telah menyeru agar konflik Iran-Israel diselesaikan melalui rundingan. PBB pula memberi amaran ketegangan ini boleh mencetuskan bencana kemanusiaan dan ancaman nuklear berskala besar.
Walaupun Netanyahu cuba meyakinkan dunia tindakannya bertujuan mencegah lebih banyak pertumpahan darah, ramai pemerhati melihat kenyataannya sebagai percubaan untuk menyeret kuasa-kuasa besar ke dalam konflik Timur Tengah yang semakin meruncing.








