Hantar anak ke sekolah guna helikopter, polis rujuk CAAM | The Reporter

Hantar anak ke sekolah guna helikopter, polis rujuk CAAM

Sekeping gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Tular satu video yang dirakamkan oleh seorang penduduk menunjukkan sebuah helikopter mendarat di sebuah kawasan lapang di Shah Alam, dikatakan untuk menghantar seorang kanak-kanak ke sekolah.

Menerusi satu perkongsian di portal Free Malaysia Today, helikopter itu berlepas dari sebuah kawasan lapang berdekatan kawasan perumahan di Shah Alam. Sekeping gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Insiden berkenaan dikatakan telah mengundang amarah penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu susulan tular di media sosial.

Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang murid sekolah dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park Shah Alam.

“Helikopter berkenaan mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11, di sini, hari ini.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai rujukan agensi lain (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today, Buletin TV3

Related Posts