Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang besar untuk merampas semula tampuk pemerintahan negara pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam laporan Malaysia Gazette, Hamzah menyatakan pengalaman gabungan tersebut memimpin negara sebelum ini membuktikan mereka mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Madani.
“Insya-Allah, kita akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi. Kita pernah memimpin negara, pertama kali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Baca juga:
- ‘Tak mahu minta maaf tak apa, teruskan pusing sana sini’ – Akmal Saleh
- ‘Untuk apa saya minta maaf?’ – Wee Ka Siong jawab desakan Akmal Saleh
- Ridhuan Tee tegur Bersatu, jangan berebut jawatan PM
Perjuangan lebih besar daripada kuasa
Menurut Hamzah, perjuangan politik kali ini bukan semata-mata soal perebutan kuasa, sebaliknya penentu nasib masa depan rakyat.
“Pilihan raya akan datang adalah episod paling penting. Bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menentukan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita agar tidak menjadi pelarian di bumi sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan seluruh jentera parti perlu bersedia dari aspek tenaga, masa dan kewangan untuk memastikan perjuangan itu berjaya.
Kritikan terhadap kerajaan
Dalam nada tegas, Hamzah turut menyindir kerajaan yang menurutnya gagal berdepan pembangkang secara telus.
“Mereka sibuk dengan kepentingan sendiri, bukannya kepentingan rakyat. Tetapi kita bukan pengecut, kita adalah pejuang. We are the hope to the nation,” katanya.
Beliau menyeru ahli Bersatu agar terus lantang menyuarakan kebenaran, sambil menekankan pentingnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PN. Ucapan tersebut disambut sorakan dan laungan semangat daripada perwakilan yang memenuhi dewan.