Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah, menyifatkan tindakan menamatkan perkhidmatan kakitangan bank, Siti Nurziswanis Mohd Zain, dengan notis 24 jam sebagai terlalu keras dan zalim.
Menurut Haim Hilman, meskipun tindakan wanita itu dianggap tidak beradab, beliau mempersoalkan sejauh mana sifat belas kasihan, kasih sayang dan kemaafan masih wujud dalam institusi perbankan berkenaan.
“Benar, perbuatan Siti itu tidak wajar. Namun pada saya tindakan memberhentikannya dengan notis 24 jam amat keras dan zalim. Telah hilangkah sifat belas dan kasih serta kemaafan?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan bahawa tindakan terlalu mengagungkan pemimpin hingga mengabaikan nilai kemanusiaan dan keadilan terhadap rakyat biasa perlu direnungkan bersama.
“Saya tidak bermaksud menyokong perbuatannya, tetapi tindakan terlalu mengagungkan pemimpin dan di masa sama terlalu keras kepada rakyat biasa perlu direnung sedalam-dalamnya,” ujarnya lagi.
Haim Hilman turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya politik dan sosial negara yang semakin hilang nilai budiman, penyayang dan berjiwa besar, di mana perbalahan sering berlaku tanpa batas, termasuk dalam kalangan pemimpin sendiri.
“Banyak sahaja hinaan, cacian dan makian yang silih berganti di antara pihak yang berbalah. Pemimpin kedua-dua belah pihak sering menjadi sasaran. Telah semakin hilang sebenarnya sifat budiman dalam masyarakat kita,” katanya.
Baca juga:
- Suami bermadu: Disangka bujang, lelaki dakwa ditipu ‘isteri’ sendiri
- ZUS Coffee buat laporan polis lindungi keselamatan & privasi Zurista
- Anwar terkejut dakwaan Khairy bakal kembali ke Kabinet
Menurut beliau, setiap institusi mempunyai kod etika yang harus dihormati, namun beliau berpendapat hukuman yang dikenakan perlu berpatutan dan berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit telah memohon maaf secara terbuka dan menyesali perbuatannya.
“Hukuman tetap perlu dikenakan, tetapi hukuman sekeras memecatnya walaupun beliau dengan suci hati memohon maaf amat mendukacitakan,” katanya.
Beliau turut merayu kepada pemimpin utama negara agar mempertimbangkan untuk memaafkan Siti serta membantu beliau mendapatkan kembali pekerjaannya.
“Jika boleh saya nasihatkan, maafkanlah Siti dan hargailah permohonan maafnya. Jangan biarkan orang di sekelilingmu membuat keputusan sekeras itu bagi pihakmu atas alasan mahu menjaga nama baikmu.
“Dia hanya seorang rakyat kecil yang berjuang untuk meneruskan kehidupannya dan keluarganya. Tidak rugi buat dirimu wahai pemimpin besar negara jika memaafkan dia. Malah kamu akan diingati akan kebaikanmu itu,” tambahnya.










