Guru dilarang jadikan pelajar sebagai content media sosial – Fahmi | The Reporter

Guru dilarang jadikan pelajar sebagai content media sosial – Fahmi

Fahmi Fadzil beri peringatan kepada guru agar elak libatkan pelajar dalam kandungan media sosial.
Foto: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan guru supaya tidak menggunakan pelajar sebagai kandungan di media sosial mereka. Tindakan ini boleh mengundang risiko keselamatan, termasuk eksploitasi dan jenayah seksual kanak-kanak.

“Sekiranya guru ini seorang pempengaruh, carilah kandungan lain kerana akan timbul beberapa isu terhadap keselamatan, data peribadi dan sebagainya jika dedahkan wajah atau nama murid ke dalam media sosial mereka.

“Ia mungkin membolehkan kanak-kanak jadi mangsa jenayah seksual, pengantunan kanak-kanak atau pengantunan seksual… kita nak elak jenayah dan masalah ini berlaku, jadi guru jangan benarkan imej pelajar mereka dimasukkan di dalam media sosial,” katanya memetik laporan Bernama..

Internet selamat untuk sekolah

Fahmi menegaskan kerajaan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan penggunaan Internet di sekolah lebih selamat.

“Kementerian sediakan Internet di semua sekolah, ada kira-kira 4,000 sekolah yang disasarkan untuk projek titik kehadiran. Apa guna ada Internet murah, laju dan meluas tapi tidak digunakan dengan selamat? Kita nak ia selamat digunakan terutama bagi kanak-kanak dan keluarga,” jelasnya.

Sebagai langkah pencegahan, kempen Jelajah Internet Selamat bakal dilancarkan selepas Aidilfitri, melibatkan 10,000 sekolah di seluruh negara. Program ini bertujuan mendidik guru dan pelajar mengenai penggunaan media sosial yang bertanggungjawab, bermula dengan sekolah di sekitar Lembah Klang.

Hentikan kandungan TikTok melibatkan pelajar

Fahmi turut mengingatkan guru supaya tidak menggunakan TikTok untuk menghasilkan kandungan melibatkan pelajar.

“Media sosial tidak sesuai untuk kanak-kanak. Menerusi jelajah itu nanti, mesej yang saya mahu sampaikan kepada guru sekolah rendah ialah agar mereka menghentikan penggunaan TikTok untuk membuat kandungan melibatkan pelajar.

“Dalam media sosial mereka merakam serta menyimpan data dan apabila kita masukkan kandungan, sebenarnya kita telah menyerahkan maklumat diri dan keadaan sekeliling kepada pelayan dan platform yang dimiliki kebanyakan negara asing, itulah sebab kita perlu berwaspada dan tahu apa kandungan yang sesuai untuk dimasukkan dalam media sosial,” tegasnya.

Related Posts