Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perkongsian mengenai kejayaan seorang graduan Institut Kemahiran MARA (IKM) tular selepas Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menceritakan pengalamannya disapa oleh seorang anak muda dalam penerbangan pulang dari Doha ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Dr. Asyraf, individu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Ibrahim, anak jati Merlimau, Melaka dan merupakan graduan Sijil Teknologi Fabrikasi dari IKM Kampung Pandan. Kini, Ibrahim bekerja di Qatar Airways sebagai mekanik pembaikan struktur badan kapal terbang.
“Boleh saya tahu berapa gaji yang dibayar?” soal Dr. Asyraf.
“Dalam RM17 ribu ke RM20 ribu,” jawab Ibrahim ringkas.
Dr. Asyraf turut memaklumkan bahawa rakan-rakan seangkatan Ibrahim dari IKM turut memperoleh peluang pekerjaan dan gaji yang serupa, menunjukkan kualiti latihan dan pengiktirafan tinggi terhadap program TVET yang ditawarkan oleh MARA.
TVET MARA buktikan potensi ke peringkat global
Kisah Ibrahim menangkis tanggapan bahawa lulusan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tidak mempunyai masa depan cerah. Dengan hanya memiliki sijil kompetensi, Ibrahim mampu membina kerjaya bertaraf antarabangsa dan memperoleh pendapatan lumayan.
MARA melalui institusi-institusinya seperti GiatMARA, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII), German-Malaysian Institute (GMI), serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah memainkan peranan penting melahirkan tenaga mahir berdaya saing.
Kejayaan seperti ini jelas membuktikan bahawa laluan TVET bukan sekadar alternatif, tetapi satu pilihan strategik untuk masa depan kerjaya yang stabil dan cemerlang, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
Sumber : Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki








