Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim, menyatakan graduan baru di Malaysia kini berdepan realiti gaji rendah yang tidak selaras dengan kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, purata gaji graduan ketika ini sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, hanya sedikit lebih tinggi berbanding gaji permulaannya sebanyak RM1,300 pada 1984. Mengambil kira inflasi tahunan 5%, katanya graduan sepatutnya menerima RM7,000 hingga RM8,000 sebulan bagi mengekalkan kuasa beli setara dengan generasi terdahulu.
“Jika dibandingkan dengan era 1980-an, kuasa beli kita telah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda,” jelasnya.
Muhammad turut berkongsi bahawa beliau mampu membeli kereta selepas enam bulan bekerja dan rumah selepas tiga tahun bekerja pada era tersebut, sesuatu yang semakin mustahil dicapai graduan kini.
Baca juga:
- Graduan baru sepatutnya bergaji RM7,000–RM8,000, bukan RM2,000–RM3,000 – Bekas Gabenor Bank Negara
- Tulisan Hebrew: Pemilik dakwa hanya minat tulisan asing
- Parti Hati gesa kerajaan larang hidang daging lembu di majlis rasmi
Ekonomi Malaysia terperangkap di tahap pendapatan pertengahan
Beliau memberi amaran bahawa Malaysia berisiko terus kekal dalam “middle-income trap” sekiranya sistem pendidikan dan struktur ekonomi tidak dirombak.
Data Kementerian Pendidikan Tinggi menunjukkan 40% graduan memperoleh kurang RM2,000 untuk pekerjaan pertama. Situasi ini diperburuk oleh kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar), yang menekan kadar upah pekerja tempatan.
Sehingga 31 Disember 2024, daripada 16.78 juta tenaga kerja negara, 2.37 juta atau 14% adalah pekerja asing. Menurut Muhammad, kehadiran pekerja asing berupah murah mengekang kenaikan gaji kumpulan B40.
Dalam masa sama, fenomena “brain drain” semakin serius apabila ramai tenaga mahir termasuk jururawat berhijrah ke Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand. Jururawat di Malaysia menerima sekitar RM2,700 hingga RM3,400 sebulan, sedangkan di Singapura mereka boleh memperoleh RM11,000 hingga RM13,000.
Beliau turut menegaskan ramai rakyat Malaysia kini berulang-alik ke Singapura untuk melakukan kerja manual, kerana gaji lebih tinggi walaupun bukan jawatan profesional. Jika keadaan berlarutan, Malaysia boleh berubah daripada pengeksport bakat kepada pengeksport buruh.
Masih ada harapan jika ekonomi disusun semula
Walaupun cabaran besar menanti, Muhammad optimis Malaysia mampu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana. Beliau merujuk kejayaan negara seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun yang dahulu berada di belakang Malaysia tetapi kini jauh mendahului hasil transformasi ekonomi berterusan.
“Malaysia tidak seharusnya hanya membandingkan diri dengan negara ASEAN, sebaliknya perlu mencontohi ekonomi berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan, dengan keberanian melakukan reformasi pendidikan, struktur ekonomi dan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi, Malaysia berpotensi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Muhammad, 65, pernah menjadi Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd semasa Krisis Kewangan Asia 1997 dan menjawat jawatan Gabenor BNM dari 2016 hingga 2018.
Sumber: Says.com