'Dia kasi gaji RM2,400 je? Aku ada degree tau!' | The Reporter

‘Dia kasi gaji RM2,400 je? Aku ada degree tau!’

Calon temuduga menyerahkan resume kepada penemuduga semasa sesi temu duga kerja
Graduan kecewa hanya ditawar gaji RM2,400 walaupun ada ijazah dan pengalaman kerja

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Seorang graduan kejuruteraan kecewa hanya ditawarkan RM2,400 walaupun ada hampir dua tahun pengalaman kerja
• Perkongsian itu mencetus perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial tentang nilai sebenar ijazah dalam pasaran kerja
• Ramai berkongsi pengalaman menerima gaji rendah walaupun berpengalaman dan menyuarakan kebimbangan terhadap amalan majikan

Seorang graduan jurusan kejuruteraan meluahkan rasa kecewa di Threads selepas hanya ditawarkan gaji RM2,400 oleh sebuah syarikat walaupun mempunyai hampir dua tahun pengalaman kerja. Dia pada asalnya memohon RM3,000 dan berharap dapat berunding ke RM2,800, namun jumlah akhir yang ditawarkan gaji tetap RM2,400 tanpa sebarang manfaat tambahan.

Sebelum ini, dia pernah bekerja selama dua tahun di bawah kontrak, namun kontrak tersebut tidak disambung. Selepas enam bulan menganggur, dia akhirnya bersetuju menerima tawaran itu kerana perlu segera mendapatkan kerja untuk menampung komitmen harian. Walaupun begitu, dia mengakui berasa kecewa kerana syarikat terbabit dikenali ramai dan bukannya sebuah syarikat kecil.

Nilai ijazah semakin merosot?

Perkongsian ini membuka ruang perbincangan luas dalam kalangan pengguna media sosial. Ramai yang berpendapat memiliki ijazah tidak lagi menjamin gaji tinggi, terutama dengan jumlah graduan yang semakin meningkat setiap tahun. Malah, ada yang menyatakan keutamaan kini lebih kepada kemahiran dan pengalaman berbanding sekadar kelulusan akademik.

Beberapa individu turut berkongsi pengalaman menerima gaji rendah walaupun memiliki pengalaman bertahun-tahun dan kelulusan diploma. Malah, ada yang memulakan kerjaya dengan gaji serendah RM1,500 walaupun berstatus graduan. Situasi ini dianggap biasa, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Namun ada juga yang membangkitkan isu bagaimana sesetengah syarikat kini dilihat sengaja merendahkan nilai tenaga kerja dengan menawarkan gaji permulaan yang rendah, walaupun bagi jawatan teknikal seperti kejuruteraan. Perkara ini dianggap tidak setimpal dengan usaha pelajar yang bertungkus-lumus menamatkan pengajian dan menanggung kos pendidikan yang tinggi.

Ramai juga menyuarakan rasa simpati terhadap graduan dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pilihan selain menerima gaji rendah demi menanggung komitmen hidup. Ada yang merasakan permintaan gaji RM3,000 adalah wajar bagi seorang graduan dengan pengalaman, namun tetap dianggap “demanding” oleh sesetengah majikan.

Related Posts