Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bagi sesebuah kawasan pedalaman, sistem pengangkutan menjadi masalah kepada pekerja dan juga pelajar-pelajar sekolah. Jarak antara kediaman dan lokasi yang dituju memakan masa yang lama.
Kuala Krai boleh dikatakan antara kawasan paling sejuk di Semenanjung Malaysia selain di Cameron Highlands sewaktu Tiupan Angin Sejuk dari Tanah Besar China Februari lalu. Jadi suasana yang berkabus bukanlah asing di Daerah Kuala Krai ini.
Selepas sahaja selesai solat Subuh di Masjid Mukim Kuala Gris, saya mengikuti adik Muhammad Redzuan yang solat sekali di masjid yang sama, berjalan kaki ke Stesen Kuala Gris ini. Sewaktu tiba di Stesen Kuala Gris ini yang hanya mempunyai dua buah pondok menunggu, belum ada pelajar sekolah lain lagi.
Kebanyakan penduduk tempatan terutamanya pelajar-pelajar sekolah di kawasan ini sangat bergantung kepada perkhidmatan kereta api ini untuk ke sekolah.
Jarak antara sekolah mereka dengan Stesen Kereta Api Dabong hanya sekitar 100 hingga 150 meter sahaja dan sebelah petangnya pula ada kereta api shuttle yang menanti mereka sekitar jam 2:30 petang untuk membawa mereka pulang semula.












