Geledah beg, makan vitamin pelajar, Teacher Qiwiie tampil mohon maaf & mengakui kesilapannya - The Reporter

Geledah beg, makan vitamin pelajar, Teacher Qiwiie tampil mohon maaf & mengakui kesilapannya

Qiwiie tampil memohon maaf di atas perbuatannya menggeledah beg pelajar tanpa kebenaran. Jelas guru berkenaan, video itu hanya sekadar konten

Susulan ramai yang mengkritik perbuatan guru yang mengeledah beg dan makan vitamin kepunyaan pelajarnya dalam video dimuat naik di TikTok, tuan empunya badan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menerusi hantaran di TikTok, Qiwwie memohon maaf kepada ibu bapa dan orang awam yang terkesan dengan video tersebut. Malah dia mengakui video tersebut dibuat bagi tujuan konten sahaja.

“Saya ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan individu yang tersinggung dengan video yang saya siarkan baru-baru ini. Saya benar-benar kesal.

“Video itu adalah kandungan yang ditaja. Ia dirakam semasa waktu rehat dan saya meletakkan gummies ke dalam beg sebelum dirakam. Saya periksa beg pelajar dan keluarkan gummies, lalu dimakan.

“Tiada pelajar yang terlibat dalam video ini. Tidak seperti video saya yang lain di mana ia mendapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar. Tetapi untuk video terbaru ini saya tidak meminta persetujuan mereka sebelum membuka beg kerana ia hanya digunakan sebagai prop. Ini adalah kelalaian dan kesilapan yang saya amat kesali,” katanya.

Video ditarik balik selepas 20 minit disiarkan

Menurut Qiwiie, ada beberapa individu yang prihatin memberi teguran bahawa apa yang dilakukannya itu adalah tidak betul. Sedar dengan kesilapan itu, Qiwiie terus menarik balik video tersebut selepas 20 minit kemudian.

Malangnya, video itu sempat dimuat turun semula oleh netizen dan ditularkan di media sosial.

“Saya masih baru dalam mencipta kandungan (di media sosial) dan saya masih belajar. Tetapi ini bukanlah alasan.

“Saya secara jujurnya berterima kasih kepada mereka yang membangkitkan isu ini dan saya akan mengambil perkara ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati dan teliti di masa hadapan.

Tarik balik semua video

“Saya sayangkan sekolah saya dan pelajar saya. Saya amat kesal kerana perkara yang berlaku ini menimbulkan persepsi negatif terhadap mereka. Sebagai seorang guru, keselamatan dan kesejahteraan pelajar adalah amat penting dan saya memandang serius mengenainya.

“Buat masa ini semua video yang melibatkan pelajar telah ditarik balik. Saya akan mengambil masa ini untuk memikir rancangan kandungan masa depan saya supaya saya boleh melakukan dengan lebih baik untuk pelajar saya,” katanya.

Di ruangan komen, netizen menyambut baik permohonan maaf Qiwiie dan berharap tiada lagi pelajar yang dilibatkan dalam videonya di media sosial kerana perbuatan itu tidak wajar dilakukan, meskipun mendapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar.

Sumber: TikTok Qiwiie

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!