Tular di media sosial semalam, klip video menunjukkan seorang graduan berusia 77 tahun dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang, telah menarik perhatian ramai.
Dalam video yang dimuat naik TikTok @uitm_channel, Zulkifly Abdullah, kelihatan tersenyum gembira semasa menaiki pentas untuk menerima skrol semasa istiadat Konvokesyen UiTM ke-99, diiringi dengan tepukan gemuruh daripada para tetamu jemputan dan graduan-graduan lain.
Difahamkan, Zulkifly merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja di Kementerian Sumber Manusia, yang telah berkhidmat kira-kira 32 tahun.
Penglibatannya dalam undang-undang pekerja semasa bertugas, mendorong semangatnya untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Sekali gus membuktikan bahawa, semangat belajar tidak mengenal had umur.
Di ruangan komen, netizen meluahkan rasa kagum dan memuji semangat Zulkifly dalam usaha mencari ilmu.
Kisah Zulkifly ini mengingatkan kita bahawa, usia bukanlah penghalang untuk menimba ilmu dan mencapai kejayaan. Beliau telah membuktikan semangat dan keinginan unttuk belajar boleh mengatasi segala rintangan.