Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gara-gara tindakan seorang penumpang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menarik brek kecemasan dengan sengaja ketika tren sedang bergerak, telah menyebabkan kelewatan tren selama 120 minit pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan di Facebook, KTMB mengingatkan agar pengguna tren tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan tren semasa beroperasi.
“Insiden yang berlaku pada 12 Oktober 2024 (Sabtu), di mana seorang penumpang tren ES9052 telah menarik brek kecemasan ketika tren sedang bergerak dan telah menyebabkan kelewatan tren selama 120 minit,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, pengguna yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122, Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Kesalahan tersebut boleh disabitkan dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam hantaran berkenaan juga, KTMB turut memuat naik video yang memaparkan seorang lelaki menarik brek kecemasan dengan sengaja.
“Video ini dikongsi sebagai langkah kesedaran agar insiden seperti ini tidak berulang,” katanya.








