Remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat ditusuk pisau yang dibaling oleh bapanya kerana berang mangsa bergaduh dengan adiknya berebut kudapan.
Dalam kejadian yang berlaku di Palangkarya, Kalimantan Tengah, mangsa, Eko sebelum itu pulang dari kedai membawa roti dan susu kotak.
Apabila masuk ke halaman rumah, Eko menghulur susu itu kepada adiknya. Tetapi pergaduhan tercetus apabila si adik juga mahu menjamah roti tersebut.
Suspek, Mardi, 45, yang ketika itu sedang mengupas jagung terdengar pergaduhan dua anaknya lalu membaling pisau ke arah mangsa dan tertusuk tepat menembusi dada Eko.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, Mardi terus membawa Eko ke hospital, malangnya Eko tidak sempat diselamatkan.
Tidak terhenti di situ, Mardi cuba menutup kesalahannya itu dan memaklumkan kepada polis mangsa terjatuh ke atas pisau itu ketika bertengkar dengan adiknya.
Keluarga Eko pada awalnya juga enggan membenarkan mayat mangsa dibedah siasat membuatkan polis berasa curiga dan meneruskan bedah siasat. Polis juga mendapati keadaan tempat kejadian tidak sama seperti apa yang diceritakan oleh suspek.
Hasil bedah siasat dan soal siasat yang dijalankan terhadap adik mangsa mendapati perkara yang sebaliknya. Akhirnya Mardi mengaku dia membaling pisau tersebut dan menegaskan dia tidak sengaja sehingga membunuh Eko.
“Saya lempar pisau itu, bukannya menikam dia. Saya menyesal seumur hidup,” katanya yang kini berdepan dengan tindakan undang-undang dan bakal dipenjara maksimum 20 tahun jika didapati bersalah.
Sumber: Tribun, Harian Metro