Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menzahirkan kebimbangan serius berhubung perkembangan di sekitar sebuah kuil berhampiran Hospital Bukit Mertajam, yang kini menimbulkan isu nasional selepas berlaku insiden didakwa melanggar undang-undang.
Menurut beliau, perhimpunan yang berlaku telah menyebabkan kesesakan dan gangguan serius pada laluan utama menuju hospital, termasuk laluan yang digunakan oleh pesakit kecemasan, pelawat, serta kakitangan perubatan.
“Dalam situasi melibatkan kawasan kritikal seperti hospital, sebarang aktiviti yang menjejaskan kelancaran akses bukan sahaja tidak wajar malah berpotensi mengancam keselamatan dan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera,” tegas Fadhli. Kepentingan awam, katanya, mesti diutamakan dalam setiap keputusan.
Beliau menegaskan bahawa kebebasan beragama seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan harus dihormati, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan undang-undang dan peraturan perancangan yang telah ditetapkan.
“Setiap pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi kerangka undang-undang sedia ada. Dalam kes yang melibatkan kawasan sensitif seperti hospital, pendekatan bertanggungjawab melalui dialog matang perlu diambil, termasuk pertimbangan pemindahan ke lokasi lebih sesuai, sambil tetap menghormati penganut agama berkenaan,” jelasnya.
Baca juga:
- Pejabat Menteri nafi dakwaan palsu Mohamad Sabu galak penjawat awam tanam ganja
- Langgar lari polis trafik: Inspektor ditahan, sedang jalani rawatan kesihatan
- Jabatan Penjara siasat video tular tahanan reman lolos di Penjara Sungai Buloh
Fadhli Shaari turut mengkritik kerajaan negeri dan persekutuan kerana gagal mengambil langkah penyelesaian tegas, adil, dan seimbang bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara.
Beliau menyeru agar semakan menyeluruh dilakukan terhadap semua binaan yang didirikan tanpa kelulusan, supaya penguatkuasaan undang-undang berjalan secara konsisten dan tanpa pilih kasih.
“Akses ke hospital, khususnya bagi kes kecemasan, tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa orang ramai,” tegasnya.








