Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua lelaki ditahan polis selepas seorang gadis Orang Asli berusia 15 tahun mendakwa dirogol oleh salah seorang suspek yang dikenali melalui aplikasi cari jodoh.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bersama rakannya, 33 tahun, untuk membantu siasatan selepas mangsa membuat laporan polis pada awal pagi Jumaat lalu.
Mangsa yang berasal dari Pekan Ringlet, Cameron Highlands, Pahang, mendakwa suspek utama membawanya menaiki kereta ke Kedah sebelum merogolnya sebanyak empat kali di dalam kenderaan di beberapa lokasi.
Mangsa kemudian ditinggalkan di sebuah lorong di Kedah, di mana dia diselamatkan orang ramai dan dihantar pulang ke Cameron Highlands untuk membuat laporan polis sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lipis bagi rawatan lanjut.
Bertindak di atas laporan, polis menahan kedua-dua suspek pada Sabtu sekitar jam 3.20 pagi. Hasil siasatan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai empat rekod berkaitan dadah dan jenayah.
Suspek pertama mengaku telah merogol mangsa sebanyak empat kali di dalam kereta. Rakannya pula tiada bersama semasa kejadian, namun kedua-duanya pulang ke Cameron Highlands atas sebab yang belum diketahui sebelum ditahan.
Mahkamah Majistret Raub membenarkan reman selama tujuh hari ke atas kedua-dua suspek sehingga 20 Disember untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Sumber: The Star








