Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan maut akibat dibunuh oleh bekas tunangnya dalam kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu.
Lapor Harian Metro, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditemui terlentang di premis dan turut ditemui beberapa kesan tikaman di badannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu terus segera ke lokasi.
Setibanya di lokasi, mereka mendapati mangsa yang berlumuran darah masih bernafas dan pegawai perubatan yang datang sedang memberi bantuan pernafasan (CPR).Tidak beberapa lama kemudian, mangsa disahkan telah menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, suspek berusia 33 tahun dikesan masih berada di tempat kejadian terus ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
Sementara itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menjalani proses bedah siasat.
Motif kejadian masih belum diketahui dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.








