Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Filem animasi Dongeng Sang Kancil yang diterbitkan oleh Les’ Copaque Production sudah mencecah kutipan panggung sebanyak RM5 juta dalam minggu pertama tayangan.
Menerusi beberapa hantaran di media sosial, ramai yang memuji filem animasi tempatan ini dengan meletakkan penilaian tertinggi.
Memetik dari Berita Harian, Pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya mensasarkan kutipan filem itu mencecah RM20 juta hingga selesai tayangan.
“Kutipan masih rendah disebabkan ramai yang menonton adalah kanak-kanak dan harga tiket murah.
“Kami juga kesal ada beberapa ‘haters’ yang buat kempen jangan pergi tengok filem ini dan mendakwa naskhah ganas di Facebook (FB) hingga mengganggu mereka yang ingin menonton.
“Apa-apapun, pihak kami berharap tayangan filem ini masih bertahan di pawagam sehingga cuti sekolah pada 17 Januari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin filem animasi ini mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Ahad lalu,Perdana Menteri telah meluangkan masa bersama pelajar SK Cochrane, SJK (T) Jalan San Peng, SK (P) Jalan Batu, SKJ (C) Bandar Sungai Long, dan anak yatim dari SK Semenyih menonton filem berkenaan.
“Pastinya, filem ini menghidupkan semula elemen nostalgia kanak-kanak yang teruja melihat kebijaksanaan Sang Kancil dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul selain menyatukan haiwan-haiwan lain di dunia rimba mereka.
“Syabas di atas filem animasi yang membanggakan negara ini, dan saya percaya, produk seni tempatan akan mampu terus bersaing di peringkat antarabangsa, Insya-Allah,” katanya.