Berbaki dua hari lagi, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan serentak di seluruh negeri. Persaingan yang sengit ini sudah pastinya mengundang persoalan rakyat siapakah yang bakal mengetuai pucuk pimpinan baharu kelak. Semakin menghampiri kemuncaknya, pelbagai kisah dan isu dibongkarkan satu persatu, namun ada juga fitnah yang dibuat bagi menjatuhkan pihak lawan,
Satu tangkap layar perbualan WhatsApp tular di media sosial berkenaan isu kononnya calon bagi parti Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, meminta seorang individu menumbangkan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan. Walau bagaimanapun, Khairy menafikan dakwaan tersebut dan akan membuat laporan polis dan juga aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Fake. Tak perlu sebar fitnah black ops, “source: trust me bro” macam ni. Laporan polis dan SKMM akan dibuat termasuk terhadap akaun Dr.Bigger balls ini. tolak fitnah dan politik kotor,” katanya.
Khairy atau lebih dikenali dengan nama KJ sebelumnya juga menjadi isu hangat diperbualkan apabila namanya tidak tersenarai dalam calon untuk terus menyandang kerusi bagi Parlimen Rembau. Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.
“Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Selepas satu per satu kerusi tidak lagi ‘available’, maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).
“Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media… tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan. Saya ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam kenyataan lain pula, KJ menyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilantik sebagai Presiden UMNO sekiranya dia dilantik semula menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga memberikan bayangan berkemungkinan akan mengadakan pakatan dengan Ismail Sabri dalam pemilihan UMNO akan datang. Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga antara nama yang disebut dalam pakatan itu.
Khairy turut menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti. Kenyataan itu diungkap secara terbuka ketika mengadakan kempen ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh. Tetapi beliau menjelaskan waktunya bukan sekarang kerana persetujuan telah dicapai untuk melantik kembali Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.
Melihat kepada situasi-situasi tersebut, dilihat seperti ada sesuatu yang berlaku di dalam parti. Seharusnya tidak timbul isu-isu ‘luaran’ yang boleh menjejaskan kempen pilihan raya seterusnya membuatkan rakyat mula beralih arah dan bosan dengan segala cerita dalam dan luar politik.
Apa pandangan netizen berkenaan isu ini, adakah perlu didedahkan segala kepincangan dan kelemahan parti bagi merebut jawatan dan apakah siginifikasi kepada rakyat yang memilih?
Sumber: Berita Harian, BFM, Sinar Harian