Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif, tidak menutup pintu untuk penganjuran semula Formula 1 (F1) di Malaysia.
Namun katanya, perkara itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana ia memerlukan dana besar, perancangan teliti serta komitmen daripada kerajaan dan sektor korporat. Jika dirancang sekali pun, ia hanya boleh direalisasikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan F1 pada 2017, selepas hampir dua dekad menjadi tuan rumah sejak 1999. Kini, kedudukan Malaysia semakin mencabar apabila Singapura terus berjaya dengan perlumbaan malamnya, manakala Thailand pula bakal muncul dalam kalendar F1 pada 2028.

Baca juga:
- F1 kembali popular, tapi Malaysia masih ragu-ragu – Razlan tegaskan ia pelaburan, bukan kos
- McLaren sapu bersih barisan depan di Belanda, Piastri pole, Norris P2
- Ferrari terkandas lagi, McLaren & Aston Martin jadi tumpuan di Belanda
Kos tinggi & harga tiket jadi persoalan
Menurut Azhan Shafriman, dua halangan terbesar ialah kos dan ruang dalam kalendar perlumbaan. Yuran penganjuran pada 2017 sahaja mencecah AS$50 juta hingga AS$55 juta (sekitar RM233 juta hingga RM256 juta), manakala kalendar F1 kini sudah padat dengan 24 perlumbaan.
Beliau juga mengingatkan harga tiket F1 jauh lebih mahal berbanding MotoGP, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada peminat tempatan benar-benar sanggup membayar untuk kembali menyaksikan perlumbaan itu.

Pulangan besar untuk ekonomi & pelancongan
Di sebalik cabaran, SIC melihat penganjuran F1 mampu memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Kajian menunjukkan seorang penonton antarabangsa membelanjakan lebih RM7,700 sepanjang tujuh hingga 10 hari berada di Malaysia. Malah, MotoGP yang dianjurkan di SIC tahun lalu mencatat pulangan hampir enam kali ganda berbanding kos.
Azhan berpandangan Malaysia mungkin ketinggalan jika langkah susulan tidak diambil segera, terutama ketika Singapura, Thailand dan Indonesia giat menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.
Sumber: Free Malaysia Today