Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Fenomena Formula Satu (F1) sedang meningkat naik semula di seluruh dunia selepas kejayaan siri dokumentari Drive to Survive di Netflix yang melonjakkan populariti sukan itu kepada peminat generasi baharu.
Namun, di saat negara jiran semakin agresif menempatkan diri sebagai destinasi perlumbaan bertaraf dunia, Malaysia masih berhujah dengan alasan lama, kos penganjuran terlalu tinggi, tidak menguntungkan, tiket mahal dan pulangan yang diragui.
Ironinya, banyak suara menggesa F1 dikembalikan ke Litar Antarabangsa Sepang. Malah, beberapa pemandu antarabangsa pernah menyatakan mereka merindui cabaran unik litar itu yang dianggap antara trek terbaik di dunia.

Jangan anggap F1 sekadar kos
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali menegaskan F1 seharusnya dilihat sebagai pelaburan strategik, bukan sekadar beban perbelanjaan bernilai RM300 juta setahun. Katanya, pengalaman menganjurkan perlumbaan itu dari 1999 hingga 2017 jelas membuktikan impak ekonomi dan jenama negara yang terhasil.
“Semasa kita mula menganjurkan F1 pada 1999, tujuannya untuk meletakkan Malaysia di peta global. Ia lebih daripada soal kos, tetapi tentang imej dan pulangan ekonomi yang besar,” katanya kepada Bernama.
Menurut Razlan, inilah masa terbaik untuk menilai semula penganjuran kerana F1 kini lebih kukuh berbanding ketika Malaysia menghentikannya pada 2017. Namun beliau menegaskan, usaha ini mesti diterajui kerajaan dengan strategi menyeluruh, merentasi kementerian, serta disokong kajian impak ekonomi bebas.
Baca juga:
- F1 kembali popular, tapi Malaysia masih ragu-ragu – Razlan tegaskan ia pelaburan, bukan kos
- McLaren sapu bersih barisan depan di Belanda, Piastri pole, Norris P2
- Ferrari terkandas lagi, McLaren & Aston Martin jadi tumpuan di Belanda
Pembangunan atlet & acara mega boleh selari
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini menolak cadangan membawa kembali F1 dengan alasan dana besar lebih baik disalurkan kepada pembangunan atlet tempatan. Tetapi Razlan melihat perkara itu secara berbeza.
“Kedua-duanya boleh digerakkan serentak. Pembangunan atlet dan F1 berada pada landasan berbeza dan kedua-duanya penting jika ada sumber serta strategi nasional yang betul,” jelasnya.
Saingan serantau semakin sengit
Singapura kini mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi F1 GP, manakala Thailand sedang mengintai peluang menjadi tuan rumah F1 dan MotoGP serentak. Malaysia, katanya, tidak boleh terus ketinggalan kerana acara mega antarabangsa adalah sebahagian daripada strategi pelancongan dan ekonomi negara.
“Dulu kita anjurkan kedua-dua F1 dan MotoGP. Kini, berbanding jiran, kita sudah ketinggalan. Kalau mahu kekal relevan, kita perlu kembali ke pentas utama,” katanya.
Razlan turut mengingatkan nostalgia semata-mata tidak boleh menjadi asas keputusan. Apa yang lebih penting adalah pelaksanaan, komitmen politik dan pelaburan yang jelas.